PENDAKWAH Ebit Lew mengalirkan air mata apabila mendengarkan kisah pemain bola sepak kebangsaan, Muhammad Syafiq Ahmad yang kehilangan anak berusia 22 hari dan ibu mentua dalam kemalangan di Pulau Pinang, baru-baru ini.
Menerusi hantaran di Facebook, Ebit meluangkan masa menziarah bintang bola sepak Johor Darul Takzim (JDT) di kampungnya di Kedah.
“Sebak sayu ziarah Syafiq, (Nur) Amalina (Nur Ain) dan keluarga di Kedah. Jarang saya menangis. Tadi tak dapat tahan menangis.
“Kehilangan ibu dan anak serta bibik (pembantu rumah) asbab kemalangan jalan raya,” katanya.
Syafiq, 25, terlibat dalam kemalangan yang mengorbankan bayi lelakinya berusia 22 hari pada 6 Disember lalu.
Dalam nahas di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Sungai Bakap di Nibong Tebal itu, anak perempuannya, Aaira Nur Saffiyya, 2, turut cedera ringan, namun isterinya, Nur Amalina Nur Ain, 25, dilaporkan parah.
Turut maut dalam kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire itu ialah wanita tempatan yang juga ibu mentuanya, Zainab Wahab, 45, dan warga Indonesia Titik Sukamti, 30-an.
Ebit berkata, beliau juga sebak apabila mendengarkan soalan Syafiq dan Amalina bagaimana hendak membantu ibu mentuanya yang meninggal dunia untuk masuk ke syurga.
“Nak hadiahkan amalan buat arwah mak. Banyak soalan dan luahan hati mereka. Baik sangat keluarga ini. Melihat air mata mereka sepanjang luahan dan berbual tadi,” katanya. – Malaysiapost

