TINDAKAN Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) yang mahu menghalang pendaftaran Parti Ikatan Demokratik Muda (MUDA) disifatkan sebagai terkebelakang dan tidak demokratik.
Pengasas bersama MUDA, Tarmizi Anuwar, berkata sebagai sebuah parti yang membawa nama Bangsa Malaysia, Ikatan sewajarnya mempunyai jiwa yang besar dan mempertahankan hak setiap rakyat untuk berpersatuan seperti yang termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
“Alasan yang kononnya pihak MUDA meniru nama ‘ikatan’ merupakan suatu yang tidak munasabah kerana perkataan ‘ikatan’ bukanlah sesuatu yang ekslusif kepada mana-mana pihak.
“Hal ini sama seperti mana Parti Pribumi Bersatu Malaysia atau Bersatu yang menggunakan perkataan ‘bersatu’ sama seperti Parti Bersatu Sabah yang lebih lama ditubuhkan sejak tahun 1985.
“Selain itu, perkataan ‘bersatu’ yang bermaksud ‘united’ dalam bahasa Inggeris telah digunakan oleh United Malay National Organisation atau Umno sejak 1946 lagi. Namun, tidak pernah sekalipun isu seperti ini dijadikan satu permasalahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tarmizi berkata, di atas kertas undi ketika pilihan raya diadakaan tidak akan tertera nama penuh sesebuah parti sebaliknya hanya logo.
“Dalam kes ini, logo MUDA secara jelas menggunakan perkataan akronim MUDA yang secara jelas tidak sama langsung dengan Ikatan,” katanya.
Ikatan menerusi Setiausaha Agungnya, Tengku Ahmad Mudzaffar Tengku Zaid membantah sekeras-kerasnya penggunaan nama ‘ikatan’ dalam MUDA kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Beliau mewakili presidennya, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir serta ahli majlis tertinggi membantah perkara berkenaan yang disifatkan mengelirukan. – Malaysiapost

