Persatuan industri digesa pastikan syarikat perladangan jaga kebajikan pekerja

0
2

KEMENTERIAN Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menggesa persatuan industri supaya memastikan syarikat-syarikat berkaitan komoditi dan perladangan sentiasa menjaga kebajikan pekerja mereka.

Menterinya, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata KPPK memandang serius terhadap insiden yang berlaku ke atas kebajikan pekerja asing di sebuah kilang sarung tangan getah seperti dilaporkan semalam.

“KPPK mengutuk sekeras-kerasnya tindakan segelintir syarikat yang sengaja melanggar atau enggan mematuhi undang-undang dan peraturan. Sebaliknya hanya mementingkan keuntungan tanpa mengambil kira faktor keselesaan serta keselamatan pekerja yang merupakan penyumbang utama kepada keuntungan syarikat.

“Ini kerana tanpa pekerja-pekerja terbabit, syarikat dan industri tidak mungkin memperoleh keuntungan berlipat ganda lebih-lebih lagi semasa musim pandemik Covid-19 ini,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Mohd Khairuddin berkata sebagai majikan yang bertanggungjawab, adalah menjadi kewajipan syarikat menjaga kebajikan para pekerja dengan sebaik mungkin tanpa mengira sama ada mereka terdiri daripada pekerja tempatan ataupun asing.

Beliau juga menggesa pihak industri di semua sektor termasuk komoditi dan perladangan yang lain supaya sentiasa patuh kepada undang-undang perburuhan serta peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.

“Kementerian turut berharap agar persatuan industri mengambil tanggungjawab mengingatkan semua ahli di bawah naungan masing-masing supaya sentiasa patuh kepada peruntukan undang-undang dan peraturan serta bekerjasama dengan kerajaan bagi menangani isu ini daripada terus berlarutan pada masa depan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here