KERETAPI Tanah Melayu Berhad (KTMB) memaklumkan jualan tiket bagi perkhidmatan ETS dan KTM Intercity bagi tahun 2021 dibuka mulai jam 10 pagi esok.
Menurut kenyataan Jabatan Komunikasi Strategik KTMB, penjualan tiket bagi dua perkhidmatan tersebut adalah untuk perjalanan mulai 1 Januari hingga 31 Mac 2021.
Katanya, sebanyak 24 perkhidmatan ETS ditawarkan pada setiap hari manakala KTM Intercity masih mengekalkan 18 perkhidmatan sehari.
“Jualan tiket ini dibuka bagi membolehkan orang ramai membuat perancangan awal terutama bagi mereka yang akan menyambut perayaan Tahun Baru Cina, pulang ke kampung dan juga yang merancang untuk bercuti,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, KTMB turut menawarkan dua perkhidmatan tambahan bagi tren ETS Business Class untuk laluan pergi balik KL Sentral – Butterwotth menggunakan jadual waktu yang baharu.
KTMB menasihati orang ramai untuk mendapatkan tiket lebih awal bagi menikmati kadar tambang lebih rendah dan penjimatan berganda.
“Mereka juga boleh membuat seleksi tempat duduk sekiranya membuat pembelian tiket lebih awal, berbanding pembelian pada saat akhir.
“Pengguna disaran membuat pembelian tiket melalui aplikasi KT MB Mobile (KITS) atau menerusi laman sesawang KTMB,” katanya.
Pertanyaan lanjut, hubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-2267 1200 atau layari saluran media baharu rasmi KTMB. -Malaysiapost

