Messi samai rekod gol Pele

0
2

KAPTEN Barcelona, Lionel Messi meledak gol ke-643 bersama The Catalan dalam aksi La Liga awal pagi semalam, sekali gus menyamai rekod jaringan tertinggi dalam satu kelab oleh legenda Brazil, Pele yang melakukannya ketika mewakili Santos.

Pada perlawanan tersebut, jaringan Messi pada babak pertama belum mampu membantu skuad kendalian Ronald Koeman meraih tiga mata selepas terpaksa akur dengan keputusan seri 2-2 dengan Valencia.

Sebagai rekod, Messi menjaringkan gol pertama buat Barcelona pada musim 2005 dan hanya memerlukan 15 tahun untuk mencapai rekod tersebut.

Sementara Pele pula menjaringkan 643 gol dalam tempoh 18 tahun ketika mewakili Santos bermula musim 1956.

Mengulas prestasi Messi, Koeman percaya apa dilakukan pemain antarabangsa Argentina sepanjang kariernya sangat luar biasa dan mahu momentum itu diteruskan dalam membantu pasukan kembali berada di landasan kemenangan.

“Untuk perlawanan kali ini, kami gagal meraih keputusan seperti diharapkan tetapi impak diberikan Messi sa­ngat besar dan kami mengucapkan tahniah kepadanya kerana berjaya menyamai rekod Pele kerana ia bukan suatu yang mudah,” katanya seperti dilapor Agensi.

Sementara itu, Pele tidak ketinggalan mengucapkan tahniah kepada Messi dengan menyatakan pemain bola sepak seperti mereka berdua sukar untuk dicari ganti.

“Ini detik bersejarah buat Messi dan saya tumpang berbangga. Hanya kita sahaja yang tahu perasaan apabila berjaya menyarung jersi kelab kesa­yangan untuk tempoh yang lama,” katanya.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here