Bicara kes Guan Eng mulai Jun 2021

0
2

MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini menetapkan 31 hari bermula Jun tahun depan bagi perbicaraan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Beliau menghadapi empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu.

Hakim Azura Alwi menetapkan tarikh itu setelah membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin agar kesemua kes dihadapi Guan Eng, 58, dibicarakan bersama.

“Terdapat satu kes dengan dua pertuduhan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan dihadapi tertuduh di Mahkamah Sesyen Butterworth. Saya mohon untuk dipindahkan ke mahkamah di sini (Kuala Lumpur) untuk dibicara bersama kes di bawah Seksyen 16(a)(A) dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya membuat permohonan untuk kesemua kes dibicarakan bersama selaras dengan Seksyen 61 Akta SPRM kerana ia melibatkan tertuduh sama,” katanya pada prosiding sebutan kes tersebut hari ini, lapor Bernama.

Azura menetapkan tarikh perbicaraan pada 8 hingga 11 Jun; 12 hingga 16 Julai; 28 dan 29 Julai, 16 hingga 20 Ogos, 6 hingga 10 September, 20 hingga 24 September dan 13 hingga 17 Disember, manakala pengurusan kes ditetapkan pada 29 Mac depan.

Wan Shaharuddin turut memaklumkan pihak pendakwaan akan memanggil 80 hingga 90 saksi termasuk saksi formal dalam perbicaraan tersebut.

“Pihak kami juga telah menyerahkan lapan jilid dokumen kepada pihak pembelaan untuk diteliti sebelum perbicaraan bermula,” katanya.

Pihak pembelaan yang diwakili peguam Gobind Singh Deo mengesahkan perkara itu dan memohon tarikh sebutan kes seterusnya ditetapkan pada Mac tahun depan.

“Pihak kami memerlukan masa untuk meneliti semua dokumen yang diberikan. Yang Berhormat (Guan Eng) juga menghadapi satu lagi kes di Mahkamah Sesyen Butterworth dan kemungkinan akan ada tarikh lain ditetapkan nanti,” katanya.

Mahkamah juga membenarkan permohonan pihak pembelaan yang memohon kehadiran tertuduh dikecualikan pada tarikh pengurusan kes akan datang.

Terdahulu, Guan Eng mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan pindaan bagi kes di bawah Seksyen 16(A)(a) dan Seksyen 23 Akta SPRM yang dibacakan semula jurubahasa terhadapnya hari ini.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, dia didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu ketua menteri Pulau Pinang telah menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan bagi dirinya sendiri.

Ia membabitkan wang RM3,300,000 dengan mengambil tindakan bagi membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli yang dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, Georgetown, Pulau Pinang.

Ia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here