Bantah tindakan disiplin pada petugas KKM gagal patuh SOP

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) membantah dan menolak cadangan mengenakan tindakan disiplin terhadap petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mencegah jangkitan Covid-19 di hospital.

Presidennya, Adnan Mat, berkata cadangan untuk mengenakan tindakan disiplin adalah tidak wajar memandangkan petugas kesihatan sudah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan terbaik sejak penularan wabak berkenaan.

“Cuepacs membantah dan tidak bersetuju dengan pandangan tersebut kerana seolah-olah menggambarkan petugas kesihatan di hospital tidak mematuhi SOP sehingga menjadi antara faktor berlakunya peningkatan kes Covid-19 di hospital.

“Kita bersetuju sekiranya isu pematuhan SOP dalam kalangan petugas KKM ditekankan untuk memastikan jangkitan Covid-19 di fasiliti kesihatan dapat dielakkan,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan pakar kesihatan awam sebuah universiti yang mahu KKM menguatkuasakan tindakan disiplin terhadap kakitangan hospital yang gagal mematuhi SOP bagi mencegah jangkitan Covid-19 di kawasan hospital.

Sementara itu, Adnan berkata pihknya berharap semua pihak tidak saling menuding jari dengan meletakkan kesalahan kepada organisasi tertentu.

“Apa yang lebih baik sama-sama kita membendung penularan wabak ini, tidak alpa walaupun diberi kelonggaran dan sentiasa mengamalkan norma hidup baharu.

“Cuepacs juga berharap pemantauan melalui unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di KKM untuk menjalankan penilaian risiko di setiap fasiliti kesihatan termasuk pejabat kesihatan supaya dapat dilakukan penambahbaikan di lapangan,” katanya.

Beliau berkata, isu jangkitan Covid-19 bukan perkara yang jarang berlaku kerana ia turut membabitkan petugas kesihatan di negara-negara luar.

“Apa yang penting kerjasama semua pihak bagi membantu petugas barisan hadapan kita ini memerangi penularan Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here