DEWAN Muslimat PAS membantah sekeras-kerasnya penganjuran Pertandingan Ratu Cantik Miss/Mrs Plus World Malaysia 2020 Grand Final Gala Night yang dijadual berlangsung 2 Januari ini.
Ketuanya, Senator Nuridah Mohd Salleh berkata ini kerana penganjuran pertandingan ratu cantik merupakan satu acara yang mengeksploitasi kecantikan wanita demi menarik perhatian umum.
Secara tidak langsung, katanya, penganjuran acara itu seolah-olah merelakan wanita Malaysia dijadikan objek perhiasan di pentas.
“Sudah tentu ia bertentangan dengan usaha kerajaan yang sentiasa membina masyarakat berakhlak dan mempunyai adab terpuji.
“Umum mengetahui tiada faedah diperolehi melalui penganjuran aktiviti sedemikian. Malah ia mengundang gejala sosial yang seharusnya kita elakkan,” katanya.
Nuridah berkata kecantikan kurniaan Allah harus digunakan sebaiknya untuk manfaat manusia bukan untuk dipertandingkan.
“Sesungguhnya kecantikan kurniaan Allah merupakan anugerah yang harus dijaga dan dipelihara bukan dijadikan objek pertandingan.
“Wanita bukan piala yang diukir dan dipamerkan buat tatapan umum. Sesungguhnya Islam telah memberi amaran kepada manusia tentang fitnah yang diakibatkan oleh wanita seperti dinyatakan surah Ali Imran ayat 14. Firman Allah swt;
“Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia suka kepada perkara yang diingini nafsu iaitu perempuan-perempuan‘’ [Ali Imran: 14] .
Beliau menambah, dalam keadaan Covid-19 yang belum reda, program menghimpunkan ramai orang juga sebolehnya dielak walaupun penganjur berjanji melaksanakan prosedur operasi standard (SOP).
Justeru itu, katanya, Dewan Muslimat PAS berharap kerajaan mempertimbang untuk membatalkan penganjuran pertandingan tersebut demi memberi isyarat kepada masyarakat untuk tidak lagi menganjurkan pertandingan seumpamanya.
Sebelum ini, menurut kenyataan di Facebook Miss Plus World Malaysia / Ms Plus Intercontinental Malaysia, misinya adalah untuk mempamerkan kepelbagaian, kreativiti, kepimpinan, stail, keanggunan dan kecantikan wanita di seluruh Malaysia.
“Ia bagi membantu membina keyakinan generasi wanita moden yang berkongsi budaya dan kekuatan antara satu sama lain di dunia,” katanya.
Pemenang Miss Plus Malaysia 2020 akan mewakili Malaysia dan bertanding di Amerika Syarikat dalam Miss Plus World Finals 2020-2021. – Malaysiapost
Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2020/12/19/rakyat-tak-restu-penganjuran-miss-mrs-plus-world-yadim/

