Memahami tanggungjawab seorang ‘Amil Zakat’

0
2

Dr Zamihan Mat Zin

i. Peranan Amil Zakat Dalam Konteks Semasa

Firman Allah SWT dalam Surah al-Taubah ayat 60 bermaksud : “Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang golongan fakir, dan orang golongan miskin, dan para golongan amil yang mengurusnya, dan para muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan para berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang orang musafir (yang terputus perbelanjaan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu adlah) satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Lafaz ‘innama’ dan kata sendi ‘lil fuqara’ dalam ayat ini membuktikan bahawa asnaf zakat hanya terhad kepada lapan sahaja.

Zakat merupakan harta ekslusif Islam yang perlu diuruskan dengan penuh amanah dan berintegriti tinggi.

ii. Status Amil Dalam Islam

Amil zakat merupakan satu bahagian terpenting dalam sistem pengurusan zakat. Kecekapan amil dapat menjamin keberkesanan pengurusan zakat sesuai dengan keperluan semasa.

Al-Quran memuliakan tugasan amil zakat dan telah meletakkan taraf amil pada kedudukan ke-3 dalam martabat asnaf zakat yang lapan. Ini kerana amil merupakan golongan yang menguruskan dua tanggungjawab asas iaitu kutipan dan agihan zakat. Namun, praktik sesetengah agensi agama di negara kita mungkin berbeza dengan tugas sebenar amil zakat berdasarkan kepada skop dan bidang masing-masing.

Walau bagaimana pun, amil zakat boleh dipertimbangkan untuk mendapat keutamaan agihan berbanding asnaf lain kerana mereka merupakan pemain utama yang berkhidmat untuk mengumpul dana zakat jika dibandingkan dengan asnaf-asnaf lain yang sekadar menerima.

Justeru, amil zakat adalah mereka yang membantu pemerintah dalam sebuah negara Islam atau yang mendapat izin atau yang dipilih oleh agensi agama yang atau masyarakat Islam setempat (bagi minoriti Muslim) untuk mengumpul dan menyalurkan zakat dan mengendalikan urusan yang berkaitan dengannya.

Nabi SAW menyifatkan tugas amil yang mengutip dan mengagihkan zakat secara benar akan mendapat pahala setaraf dengan tentera yang berjihad di jalan Allah sehingga dia kembali ke rumahnya. (Riwayat Abu Daud)

Jumhur ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah berpendapat bahawa jawatan amil zakat merupakan jawatan yang dilantik oleh ketua kerajaan yang memerintah atau timbalannya dalam sebuah negara Islam.

Tanggungjawab amil mengikut Jumhur Ulama ialah mengutip dan mengagihkan zakat kepada asnaf yang telah ditentukan dalam naş atau fatwa semasa.

Manakala Imam Abu Hanifah berpendapat bahawa tugas amil hanya mengutip zakat semata-mata.

Imam al-Nawāwi menjelaskan tentang tanggungjawab pegawai zakat (amil): “Setiap amil yang bertugas di bahagian pentadbiran perolehan dan agihan serta kewangan zakat atau mana-mana pegawai tambahan yang diperlukan berhak menerima upah daripada bahagian asnaf amil. Bahkan jika tidak memadai mereka boleh mendapat peruntukan tambahan gaji. Mana-mana bahagian yang kekurangan pegawai mengikut nas mazhab al-Shafie maka kerajaan boleh menambah dengan melantik pegawai baharu.” (Al-Nawawi, Raudhah al-Talibin, halaman 313)

iii. Bayar Zakat Kepada Pemerintah

Setiap pembayar zakat wajib menyerahkan kadar zakat mereka kepada amil zakat yang ditauliahkan oleh pemerintah. Pembayar zakat tidak berhak mengagihkan kadar zakat mereka kepada asnaf pilihan mereka sendiri melainkan dalam keadaan yang diharuskan oleh syarak seperti berikut:

  1. Jika pemerintah atau kerajaan yang tidak melaksanakan syariat Islam.
  2. Berlaku kelewatan pegawai zakat yang bertanggungjawab mengutip zakat sehingga dikhuatiri melewati tempoh haul. Imam Al-Zarkashi menukilkan nas yang dikemukakan oleh Imam al-Shafie bermaksud: “Jika kerajaan tidak menuntut kutipan zakat yang telah tiba masanya sehingga hampir kepada penghujung haul maka pembayar zakat harus mengagihkan zakat mereka kepada asnaf.” (Al-Zarkashi, Khabaya al-Zawaya, hlm 30)

iv. Syarat Dan Adab Amil Zakat

Mengikut pendapat para fuqaha, serahan zakat kepada amil mestilah memenuhi beberapa syarat dan adab tertentu kerana perkhidmatan amil merupakan jawatan awam yang bertaraf hak al-Wilāyah dalam sesebuah negara Islam. Antara syarat dan adab amil zakat ialah:

  1. Beragama Islam. Syarat ini disepakati oleh Jumhur Fuqaha. Namun, Imam al-Mawardi mengharuskan amil daripada kalangan bukan beragama Islam dalam perkhidmatan al-Tanfiz. Manakala upahnya hendaklah diambil daripada peruntukan belanja mengurus Baitulmal. Bagaimana pun pendapat ini adakah lemah dan ditolak.
  2. Berstatus merdeka, bukan hamba atau hak pengurusannya dihalang atau disekat oleh undang-undang tertentu.
  3. Seorang mukallaf yang mampu bekerja dan bukan daripada kalangan kanak-kanak, tidak siuman atau kurang upaya.
  4. Bersifat adil dan bukan terdiri daripada orang fasiq dan zalim sehingga hilang kelayakan menjadi saksi serta sempurna pancaindera dan mengetahui selok-belok hukum kutipan dan agihan zakat (fiqh al zakat).
  5. Mengamalkan sifat amanah, jujur dan telus dalam perkhidmatan zakat.

Imam Abu Yusuf pernah menasihati Khalifah Hārūn al- Rashid: “Saya memohon kepada Tuan Khalifah untuk melantik pegawai awam yang jujur, amanah, sihat, bertanggungjawab kepada kerajaan dan berkhidmat kepada rakyat, tidak menggelapkan dana zakat serta tidak menyalahgunakannya.”

Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang melantik pekerja maka dia hendaklah diberi upah yang setimpal dan jangan pula dia mengkhianati majikannya.”

  1. Berperibadi mulia, mesra dan boleh dipercayai (thiqah dan muru’ah).

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Bertindaklah kamu dengan budi bicara yang paling mulia.”

  1. Berpengetahuan luas dalam Fiqh al-Zakat serta berketrampilan dalam mengetahui tentang hukum dan persoalan-persoalan semasa yang berkaitan dengan isu-isu zakat serta mampu menyediakan perancangan strategik berkaitan zakat.

Ia sebagaimana tindakan Nabi SAW melantik Sayyidina Umar, Sayyidina Ali dan Sayyidina Mu’az bin Jabal RA menjadi pegawai zakat. Baginda SAW sentiasa memberi arahan-arahan baru berkaitan isu-isu dan dasar pengurusan zakat, sedangkan ketiga-tiga sahabat ini mampu berijtihad dan dapat menguasai ilmu berkaitan zakat secara mendalam.

  1. Ulama Hanābilah dan Shāfi’iyyah mensyaratkan pegawai zakat terdiri daripada kaum lelaki. Namun ada sebahagian ulama dalam mazhab al-Shafie yang mengharuskan pegawai zakat terdiri daripada kaum wanita. (Iaanat Talibin, Jld 2, hlm 190)

Oleh yang demikian, keperluan kaum wanita untuk menjadi amil zakat boleh dipertimbangkan agensi agama berdasarkan keperluan masa kini berbanding melantik ejen atau pelayan online. Ini kerana mereka merupakan komuniti terbesar dan penggiat pelbagai industri yang aktif serta menjadi penggerak utama ekonomi negara. Justeru, mereka wajar diberi peluang untuk menjadi amil zakat selagi mana tidak ada halangan dalil syarak secara khusus.

Selain itu, lantikan ini juga dapat meningkatkan martabat wanita dalam Islam dan sedikit sebanyak mampu melonjak tahap sosio-ekonomi mereka.

  1. Mendoakan, mengucapkan tahniah dan kesyukuran kepada pembayar zakat supaya sentiasa mendapat pahala dan keberkatan. Allah SWT berfirman dalam surah al-Taubah, ayat 103 yang bermaksud: “Ambilah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat) supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan mensucikan mereka (daripada akhlak yang buruk) dan doakanlah untuk mereka kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Ayat ni secara jelas menganjurkan kita untuk mendoakan para pembayar zakat agar mereka dapat meningkatkan kualiti kehidupan di dunia dan di akhirat.

Selain itu, Nabi Muhammad SAW pernah berdoa kepada Sayyidina Abdullah bin Abi Aufa yang datang membawa zakatnya kepada Baginda SAW dengan sabdanya: “ Ya Allah, berikan rahmat dan kesejahteraan kepada Abdullah bin Abi Aufa.”

Seterusnya, Imam al- Shafie dan

Imam al-Nawawi juga pernah berdoa kepada pembayar zakat (Raudhah Talibin, halaman 211) bermaksud: “Allah akan memberi pahala kerana zakat yang telah kamu tunaikan. Ia akan membersihkan hatimu dan harta kekayaan milik kamu akan mendapat keberkatan.”

  1. Mengelakkan diri daripada mudah menerima sebarang bentuk hadiah atau saguhati yang boleh dihubungkaitkan dengan rasuah. Oleh itu, jawatan sebagai amil zakat tidak boleh dijadikan kemegahan dan batu loncatan untuk mencari kemewahan hidup duniawi.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Demi Allah yang jiwaku berada dalam kekuasaanNya, jika seseorang kamu memperolehi sesuatu dari hasil sedekah (zakat) maka pada hari kiamat nanti dia akan datang dengan memikul seekor unta, lembu atau kambing yang mengembek dia atas tengkuknya.” (Sahih Muslim, halaman 218)

Manakala Sayyidina Umar al-Khattab RA sentiasa melakukan audit terperinci terhadap amil zakat dengan pertanyaan: “Dari mana kamu memperolehi harta ini.”

  1. Mempunyai daya inisiatif yang tinggi dengan turun padang mengutip zakat dan melakukan perancangan strategi berkesan supaya pembayar dan penerima zakat dapat menyucikan diri mereka bahkan khazanah kekayaan Allah ini dapat dikongsi secara menyeluruh.

Kesimpulannya, Islam memandang tinggi peranan dan tanggungjawab amil zakat. Maka sewajarnya seseorang amil zakat hendaklah terdiri daripada mereka yang menepati syarat dan adab-adab yang telah ditetapkan hukum syarak.

Jika seseorang amil yang dilantik tidak menepati syarat dan adab-adab yang ditetapkan maka ia dikhuatiri merencatkan agenda pengurusan zakat bahkan mampu mendatangkan fitnah terhadap Islam dan umatnya. – Malaysiapost

Penulis ialah Presiden Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here