
MUFTI Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berpandangan isu wanita Malaysia beragama Islam yang melangsungkan perkahwinan dengan ketua pasukan hoki India, hendaklah dibahaskan secara ilmiah dan bukannya emosi serta melihat kes itu dengan siasatan yang teliti serta berhati-hati.
Katanya, menghukum kesalahan individu hendaklah setelah mendengar penjelasan pihak berkaitan, melainkan pihak terbabit menghalalkan kesalahan dan menyokong penyelewengan.
“Beberapa pihak bertanya saya tentang hal ini. Sebahagian mereka bermaksud untuk menjadikan isu ini modal politik mereka bagi mencerca pihak-pihak yang tidak sebulu dengan hasrat siyasah mereka. Sebahagiannya jujur memang ingin mengetahui jawapan. Di sini saya ringkaskan jawapan saya.
“Perkahwinan adalah bab fekah, iaitu berkaitan suruhan atau larangan yang membabitkan dosa, pahala atau keharusan.
“Jika perkahwinan itu tidak mengikut apa ditetapkan oleh nas dan dalil yang berasaskan al-Quran dan al-Sunnah – tanpa sebarang keuzuran yang sah- maka pelakunya melakukan dosa.
“Perbuatan dosa tidak semestinya menjadikan pelakunya kafir selagi dia tidak menghalalkan perbuatan itu,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata untuk menghukum perkahwinan pasangan tersebut sebagai tidak sah, memerlukan penelitian.
“Apakah benar hanya itu upacara akad perkahwinan yang mereka lakukan atau telah terdahulu sebelum itu upacara yang lain yang memenuhi syarat yang syarak tetapkan?
“Apakah benar salah satu pasangan tidak menganut Islam? Hal ini perlu kepada semakan dan siasatan sebelum menghukum mana-mana pihak. Berhati-hati itu disuruh oleh agama,” katanya.
Mohd Asri menjelaskan perbuatan sujud selain Allah adalah haram dengan sepakat para ulama dan pelakunya berdosa besar.
“Jika seseorang itu sujud kerana ibadah, dalam erti kata mengagungkan yang disujudkan seperti Tuhan maka dia menjadi kafir tetapi jika dia sekadar memberikan penghormatan (tahiyyah) tidak bermaksud ibadah, maka itu tidak menjadikannya kafir.
“Perbuatan itu dilarang dalam syariat Nabi Muhammad. Ertinya, dalam syariat Nabi Muhammad, perbuatan sujud kepada selain Allah itu haram, namun untuk menghukum pelakunya menjadi kafir memerlukan penelitian,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan status agama wanita Malaysia beragama Islam yang melangsungkan perkahwinan dengan ketua pasukan hoki India masih dalam siasatan pihak berwajib.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi memaklumkan perkara berkenaan masih dalam siasatan.
Isu status agama wanita itu, Illi Najwa Saddique timbul selepas dia dilaporkan melangsungkan perkahwinan mengikut acara keagamaan selain Islam di kampung halaman suaminya di Punjab, India.
Hari ini, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menitahkan agar semua usaha yang perlu, dibuat oleh Pihak Berkuasa Agama Islam Negeri Johor untuk memastikan keabsahan terkini status wanita dari Johor yang dilapor melangsungkan pernikahan tidak berdasarkan Hukum Syara’ di India.
Usaha tersebut sama ada melalui ahli keluarganya dan menerusi Kedutaan Malaysia di India agar semua pihak dapat memastikan kesahihan berita tersebut dalam tempoh terdekat. – Malaysiapost
