PENYELIDIK dari United Kingdom (UK) menemui varian baharu virus Covid-19 yang mula muncul pada pertengahan September di London atau Kent iaitu selatan England.
Menerusi perkongsian di Facebook rasmi Kementerian Kesihatan (KKM), analisis awal mendapati varian itu 70 peratus lebih mudah merebak daripada varian lama yang dapat meningkatkan kadar kebolehjangkitan (R-naught) sebanyak 0.4.
Ini disebabkan mutasi atau perubahan pada protein pepaku (spike protein) yang terlibat dalam pelekatan virus pada sel manusia sebelum memasukinya.
“Setakat ini, belum ada bukti menunjukkan vaksin yang dihasilkan kini tidak berkesan terhadap varian baru virus Covid-19. Malah, tiada bukti menunjukkan varian dikenali sebagai “VUI – 202012/01” ini akan menyebabkan komplikasi lebih teruk.
“Mutasi pada virus adalah sesuatu yang dijangka dengan kadar mutasi bagi virus Covid-19 adalah sekitar 1 hingga 2 mutasi sebulan secara global.
“Tetapi apa yang lebih penting, mutasi ini dikesan awal supaya risikonya dapat difahami dengan cepat,” tulisnya hari ini.
Sehingga 9 Disember 2020, 62 peratus kes Covid-19 di London disebabkan oleh varian baharu itu berbanding 28 peratus pada tiga minggu lalu.
Selain itu, ia menyumbang kepada peningkatan dua kali ganda kadar kebolehjangkitan berbanding minggu lalu.
“Penyelidik juga percaya varian baharu ini telah merebak ke negara lain tetapi masih perlukan kajian bagi mengesahkannya,” katanya lagi.
Sebelum ini, varian D614G pernah mencetuskan gelombang kedua dan gelombang ketiga di negara berkenaan.
Varian ini mempunyai persamaan dengan varian yang dikesan di India, Filipina dan Indonesia. – Malaysiapost

