SERAMAI 672 individu ditahan kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam, sebahagian besarnya membabitkan aktiviti di pusat hiburan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada jumlah itu, 643 individu dikompaun manakala 29 lagi direman.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti pusat hiburan (442), tidak memakai pelitup muka (90), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (78), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (37) dan lain-lain (25).
“Sebanyak 2,368 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 10,582 anggota telah membuat pemantauan di 3,482 pasar raya, 4,814 restoran serta 1,572 penjaja, 1,238 kilang, 3,124 bank dan 699 pejabat kerajaan.
“Juga dipantau, sebanyak 941 terminal pengangkutan darat, 235 terminal pengangkutan air serta 84 terminal pengangkutan udara,” katanya hari ini.
Beliau berkata, dalam Operasi Benteng, seramai 83 pendatang asing tanpa izin dan seorang tekong ditahan.
“Selain itu, tiga kenderaan darat dirampas dalam tangkapan yang dilakukan,” katanya.
Ismail Sabri turut memaklumkan 39 operasi sanitasi meliputi 11 Zon Merah, 2 Zon Jingga, 10 Zon Kuning dan 3 Zon Hijau dijalankan semalam.
“Ia melibatkan 11 negeri dan dua wilayah persekutuan iaitu Sabah (9 operasi), Melaka (8 operasi), Kuala Lumpur (5 operasi), Johor (4 operasi), Pahang (3 operasi), Pulau Pinang (2 operasi), Negeri Sembilan (2 operasi).
Sarawak, Perak, Kedah, Kelantan, Terengganu (1 operasi) dan Putrajaya masing-masing satu operasi. – Malaysiapost

