35 wanita asing mangsa eksploitasi diselamatkan

0
1

SERAMAI 35 wanita asing diselamatkan selepas dipercayai dieksploitasi kerja secara paksa, menerusi enam serbuan di Melaka Tengah dan Petaling Jaya, 12 November lalu.

Wanita berusia 18 hingga 40 tahun terbabit mendakwa bekerja dengan sebuah agensi perkhidmatan pembersihan sebagai tukang cuci dari rumah ke rumah di sekitar Melaka sejak 2018 hingga kini.

Mangsa membabitkan 34 warga Indonesia dan seorang warga Kemboja.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata tiga wanita rakyat Malaysia disyaki majikan kepada semua mangsa terbabit, dan seorang lelaki tempatan, turut ditahan dalam serbuan berkenaan.

Beliau berkata, operasi dijalankan pasukan Bahagian Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (D3), JSJ Bukit Aman.

“Siasatan mendapati empat suspek disyaki mengeksploitasi kerja secara paksa selepas tidak membayar gaji seperti dijanjikan, mengurung wanita asing terbabit di dalam rumah, mengawal pergerakan mangsa dan tidak membenarkan mereka menggunakan telefon bimbit.

“Keempat-empat suspek akan berdepan 70 pertuduhan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih 15 tahun dan denda jika sabit kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Huzir berkata, kesemua suspek akan dituduh di Mahkamah Sesyen Melaka Tengah, esok, manakala mangsa yang diselamatkan kini ditempatkan di rumah perlindungan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here