Kerajaan jamin keadilan untuk keluarga Adib

0
1

KERAJAAN memberi jaminan keadilan kepada keluarga anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang meninggal dunia semasa bertugas ketika rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, dua tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan, berkata kes itu memerlukan penelitian secara terperinci dan pelbagai proses siasatan.

Katanya, selepas Mahkamah Koroner memutuskan kes kematian Muhammad Adib akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu, tidak dapat dikenal pasti.

“Seperti kita maklum, inkues di mahkamah sebelum ini, hakim Mahkamah Koroner membuat ‘verdict’, iaitu puncanya akibat tindakan jenayah beberapa orang tidak diketahui. ‘Verdict’ menyebabkan pendakwa raya belum dapat mendakwa penjenayah yang belum dikenal pasti.

“Jadi tindakan mahkamah tidak dapat dibuat, atas dasar inilah saya difahamkan Peguam Negara meminta polis membuat siasatan lanjut, manakala polis pula mencadangkan inkues baharu,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Takiyuddin berkata, setakat ini tiada inkues baharu dibuat seperti jawapan Menteri Dalam Negeri di Parlimen, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Takiyuddin berkata, polis akan meneliti kembali perkara itu untuk diambil tindakan dan beliau difahamkan, Jabatan Peguam Negara belum menerima sebarang laporan hasil siasatan baharu berhubung kes berkenaan.

“Pada masa sama, kerajaan juga bersedia meneliti tuntutan sivil difailkan keluarga Allahyarham Muhammad Adib bagi menuntut ganti rugi mengenai insiden terbabit.

“Saya pun belum melihat lagi tuntutan sivil oleh keluarga Adib tetapi kita boleh bincang bagi mencari jalan penyelesaian,” katanya.

Muhammad Adib, 24, yang bertugas sebagai anggota bantuan kecemasan Jabatan Penyelamat dan Bomba Malaysia (JPBM) Subang Jaya parah dalam rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lalu dan meninggal dunia 17 Disember di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari dirawat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here