Bayar zakat melalui Shopee ibarat conteng arang ke muka Islam?

0
3

Dr Zamihan Mat Zin

DALAM kes bayar zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) melalui Shopee ini ada beberapa sudut boleh dilihat:

  1. Ulama sepakat bahawa syarat amil/ejen mestilah dari kalangan orang Islam. Jadi, siapa pula yang memiliki Shopee atau yang menguruskannya zakat bagi pihak Shopee? Muslim atau musyrik?
  2. Apa definisi dan peranan sebenar Shopee di sebalik proses memungut zakat ini? Amil? Ejen majazi, orang tengah, pemudah cara, pelayan E-Dagang atau hantu zakat?
  3. Konsep zakat adalah amanah kebajikan Islam. Ia bukannya satu muamalah maliah. Jadi ia tidak boleh disamakan dengan dengan urusan jual beli, pajak gadai, sewa, pinjaman, pelaburan atau instrumen kewangan semasa. Qiyas maal fariq kerana ia tiada persamaan dari segi illah.
  4. Kadar upah yang diperolehi Shopee itu atas asnaf amil atau pelayan maya menguntungkan siapa? Atau khidmat Shopee percuma saja kerana Allah SWT? Tentu ada caj perkhidmatan dikenakan. Apakah ia diambil dari wang belanja mengurus Majlis Agama atau dari wang zakat juga? Telus ke tatacara kewangan sebegini menurut Islam?
  5. Kenapa nak guna ‘orang tengah’ untuk bayar zakat? Apakah konsep amil dalam Islam tidak mencukupi untuk mencapai sasaran kutipan tahunan? Bukankah pihak Majlis Agama atau Pusat Zakat sudah ada operator supermarket maya sendiri untuk menerima zakat? Apakah tidak ada syarikat teknologi maklumat (IT) Muslim yang berjaya membangunkan aplikasi zakat maya selain Shopee?
  6. Kenapa Majlis Agama atau Pusat Pungutan Zakat (PPZ) melantik syarikat kafir musyrik sebagai operator zakat. Apakah tiada lagi syarikat Muslim yang mampu menjadi operator atau pelayan zakat maya kepada mereka? Walhal zakat adalah harta ekslusif bagi umat Islam dulu, kini dan selamanya. Rujuk ayat 60 surah al-Taubah: Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”
  7. Wang yang dikumpulkan oleh operator maya ini ditransitkan ke mana dalam tempoh 1 bulan, 3-6 bulan atau setahun sebelum ia diserahkan kepada Majlis Agama atau Pusat Zakat? Wang besar pasti boleh buat projek-projek besar walaupun dalam masa singkat!
  8. Kenapa kita teruja mengundang fitnah dalam mengendalikan urusan agama? Bukankah lebih baik kita mengikuti kaedah kutipan dan agihan zakat sebagaimana praktik di zaman Rasulullah SAW, para sahabat dan tabiin. Amalan praktik mereka aman dari fitnah dan tepat kepada kumpulan sasaran.
  9. Ada tak nas yang menunjukkan Nabi SAW atau para Sahabat RA melantik musyrikin sebagai amil atau pemudah cara zakat? Dan adakah Nabi SAW berasa bangga jika kita melantik musyrikin sebagai pemudah cara zakat secara manual atau online? Fikirkanlah!
  10. Tindakan Majlis Agama, PPZ atau Lembaga Zakat sebenarnya boleh diibaratkan sebagai menconteng arang ke muka Islam. Walaupun tindakan mereka salah dan menimbulkan fitnah dalam urusan agama, mereka tetap dilihat baik dan benar kerana mereka rapat dengan Tuanku Sultan sebagai Ketua Agama Islam di negeri-negeri. Justeru menegur mereka umpama menikam Menteri Pasola yang mengamalkan ilmu kebal. Tak lut ditikam dek keris, parang atau ditembak dgn senjata api. Tetapi maruah Islam tercalar sedikit demi sedikit tanpa kita menyedarinya. Dan apa yang pasti kita akan disoal di akhirat atas setiap sen yang dibelanjakan dan amanah yang dipertangggungjawabkan!

Ingat zakat, ingat Shopee dan ingat akhirat!

Hidup sebenar hidup akhirat!

Penulis ialah Presiden Pertubuhan Ahli Sunna Wal Jamaah Malaysia (Aswaja)
(Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan ia tidak menggambarkan pendirian Malaysiapost)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here