ANGKATAN Muda Keadilan (AMK) Selangor mengingatkan agar cadangan kerjasama pembangkang menerusi Gabungan Besar atau “Grand Coalition” tidak sama sekali melibatkan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ketuanya, Mohd Khairool Ngadon berkata Pakatan Harapan (PH) sewajarnya belajar dari kesilapan lampau.
“Jangan sesekali membiarkan pisang berbuah dua kali,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mohd Khairool berkata pihaknya mengambil maklum pendirian Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) dan Pemuda Amanah Nasional dalam kenyataan bersama berhubung cadangan pembentukan gabungan tersebut.
Beliau berkata, AMK Selangor turut bersetuju agar parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Berhubung cadangan pengukuhan kerjasama antara parti-parti komponen PH melibatkan Ahli-Ahli Parlimen Bebas serta parti-parti yang tidak pro-Perikatan Nasional, kami berpandangan ia perlu dibincang lebih mendalam di peringkat Majlis Presiden PH,” katanya.
Baru-baru ini, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub dilaporkan berkata parti itu menyambut baik syor membentuk gabungan besar pembangkang yang dilihat sebagai teras penting sebagai persediaan menghadapi PRU15.
Beliau seterusnya mengajak semua parti pembangkang bersama-sama gabungan dalam PH untuk merealisasikan matlamat itu.
Pembentukan gabungan besar itu disarankan oleh Timbalan Presiden Parti Pejuang Tanahair, Datuk Wira Marzuki Yahya dan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal.
Kelmarin, Mohamad dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menerusi kenyataan bersama berkata PH perlu membuat anjakan politik dan tidak perlu mengejar bayang-bayang selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal menarik sokongan Ahli Parlimen kerajaan pada undian Belanjawan 2021, Selasa lalu.
Kedua-dua pemimpin berkata, keputusan undian itu mengajar PH supaya tidak membazirkan tenaga mengejar bayang-bayang dan tidak membuang masa dengan Ahli Parlimen kerajaan oportunis.
Kata mereka, kelompok itu hanya memperalatkan PH untuk kepentingan peribadi agar memperoleh tawaran yang lebih lumayan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“PH harus berdepan realiti ini, perlunya suatu anjakan politik semula bagi tumpuan kepada menyatukan rakan-rakan kita dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang yang berdiri bersama pada Selasa,” katanya. – Malaysiapost

