Rakyat tak restu penganjuran Miss/Mrs Plus World – Yadim

0
2

YAYASAN Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menolak penganjuran Grand Final Gala Night bagi Miss/Mrs Plus World Malaysia 2020 pada 2 Januari 2021 di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur.

Yang Dipertuanya, Nasrudin Hassan berkata, penganjuran program seperti itu pada asasnya memberi isyarat salah kepada rakyat.

Katanya, ia menggambarkan seolah-olah kerajaan di bawah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merestui program sebegitu untuk disajikan kepada rakyat.

“Sedangkan umum mengetahui sikap kerajaan terutamanya Perdana Menteri yang amat serius dalam usaha membanteras segala aktiviti yang tidak menyumbang ke arah pembinaan akhlak dan adab terpuji,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Nasrudin, dalam suasana pandemik Covid-19, sebarang bentuk perhimpunan yang tidak mendesak harus dielak kerana risiko penularan tetap ada, walaupun pengajur memberi jaminan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP).

“Ia merupakan sikap yang diambil di seluruh dunia termasuk penganjuran program-program hedonistik seumpama ini seperti penganjuran Miss World 2021,” katanya.

Selain itu, Ketua Penerangan PAS Pusat itu berkata, konsep penganjuran program seperti itu tidak pernah dibenarkan oleh mana-mana agama terutamanya Islam.

“Ia kerana program seumpama ini lebih bersifat eksploitasi kepada wanita dan bersifat penyuburan kepada budaya hedonistik oleh tamadun-tamadun yang telah pupus sebelum ini,” ujarnya.

Nasrudin berkata, sekiranya ingin dijustifikasikan penganjuran itu dengan penggalakkan aktiviti ekonomi dan sosial, pandangan tersebut adalah terlalu dangkal.

“Kerana kesan limpahan ekonomi daripada pengajurannya terlalu marginal sedangkan nilai murni sosial di Malaysia sentiasa dibanggakan dengan unsur kesopanan dan kesantunan akan semakin terhakis.

“Berdasarkan faktor-faktor dikemukakan itu, Yadim menyeru agar langkah wajar diambil bagi memastikan program tersebut tidak dilaksanakan.

“Keutamaan majoriti rakyat kini adalah usaha mempergiatkan semula ekonomi demi kelangsungan hidup dan bukannya kepada penganjuran program yang sia-sia,” tegasnya.

Mengulas lanjut, menurutnya, pihaknya akan menghantar memo bantahan kepada penganjur dan pihak berkuasa tempatan Isnin ini sebagai bukti komitmen badan dakwah itu menentang sebarang penganjuran program tidak bermanfaat.

Katanya, Yadim yakin majoriti rakyat tanpa mengira sempadan agama dan bangsa tidak merestui program yang bukan sahaja tiada manfaat kepada rakyat terbanyak, bahkan mengundang kemurkaan Allah SWT.

Sementara itu, menurut kenyataan di Facebook Miss Plus World Malaysia / Ms Plus Intercontinental Malaysia, misinya adalah untuk mempamerkan kepelbagaian, kreativiti, kepimpinan, stail, keanggunan dan kecantikan wanita di seluruh Malaysia.

“Ia bagi membantu membina keyakinan generasi wanita moden yang berkongsi budaya dan kekuatan antara satu sama lain di dunia,” katanya.

Pemenang Miss Plus Malaysia 2020 akan mewakili Malaysia dan bertanding di Amerika Syarikat dalam Miss Plus World Finals 2020-2021.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here