Umno cadang penubuhan Majlis Presiden Kerajaan PN sejak Mac – Asyraf Wajdi

0
2

PENUBUHAN Majlis Presiden Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mampu mengelak perbezaan dan pertelingkahan pandangan terhadap dasar-dasar penting yang diperkenalkan kerajaan, kata Ketua Pemuda Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata, antaranya seperti inisiatif kerajaan mahukan pengisytiharan darurat yang tidak dirujuk kepada Umno hingga mencetuskan pergeseran dalam kalangan parti-parti dalam kerajaan PN.

Katanya, Majlis Presiden Kerajaan PN boleh dijadikan platform untuk presiden parti-parti yang mendokong kerajaan menyuarakan pendirian parti secara rasmi untuk diambil kira dan diambil tindakan oleh kerajaan.

“Sebagai contoh, pendirian Umno dan Barisan Nasional (BN) membawa suara rakyat dalam isu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan moratorium.

“Kerjasama Umno dan BN dengan PN untuk PRU15 nanti banyak bergantung kepada soal persefahaman dalam pengagihan kerusi.

“Ini bermakna pengagihan kerusi tidak lagi berasaskan perbincangan Umno dengan PAS tetapi BN dengan PN kerana PAS sudah secara rasmi menyertai PN sebagai parti komponennya,” katanya menerusi kenyataan.

Asyraf Wajdi berkata Majlis Tertinggi Umno dan Dewan Tertinggi BN telah membuat keputusan jelas mendokong kerajaan PN sehingga PRU15 dan tidak sesekali bersetuju untuk menyertai PN sebagai parti komponen.

Setakat ini, katanya, PN hanya dianggotai Bersatu, PAS, Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Progresif Sabah (SAPP).

Manakala kerajaan PN ditubuhkan atas persefahaman 12 parti politik termasuk Umno dan tiga parti komponen BN iaitu MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS); Gabungan Parti-Parti Sarawak (GPS) serta parti dalam PN.

“Majlis Presiden Kerajaan PN sememangnya dicadangkan sejak dari awal oleh Umno ketika pembentukan kerajaan PN pada Mac 2020, tetapi hanya dilaksanakan sekarang.

“Tujuannya untuk memastikan apa jua dasar-dasar penting negara dibincang terlebih dahulu dengan rakan-rakan kongsi terdiri parti-parti politik yang bersepakat membentuk kerajaan ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here