
ELAKKAN fahaman Ekstremisme atau sikap melampau dalam beragama bagi mengelak berlakunya keganasan atau peperangan yang mengakibatkan nyawa tidak berdosa terkorban
Dalam khutbah Jumaat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bertajuk “Waspada Fahaman Ekstremisme”.
Allah SWT menciptakan seluruh alam dengan sifat-Nya yang Maha Pemurah (alRahman) dan Maha Pengasih (al-Rahim).
Allah SWT memerintahkan umat manusia untuk berlaku adil, lemah-lembut dan beradab dengan pekerti yang tinggi antara sesama manusia walaupun berbeza agama, keturunan, dan bangsa.
Rasulullah SAW pernah bersabda dalam sebuah hadis:
Mafhumnya: “Orang-orang yang menyayangi akan disayangi oleh Dzat Yang Maha Penyayang. Sayangilah manusia yang ada di muka bumi, nescaya Dzat yang ada di atas langit (Allah) akan menyayangi kamu”. (Hadis riwayat Muslim)
Hadis ini menegaskan tentang konsep rahmat yang harus membumi dalam sistem kehidupan manusia.
Rahmat ini tidak akan wujud melainkan dengan ilmu yang bermanfaat berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah Rasulullah SAW.
Ideologi radikal kumpulan atau fahaman ekstremis ini tidak hanya berlaku dari sudut fizikal seperti mengangkat senjata, pemberontakan atau revolusi, tetapi turut berlaku dalam bentuk kefahaman, kepercayaan dan ketaksuban yang boleh menyebabkan seseorang berani menghukum sesiapa sahaja yang bertentangan atau tidak sependapat dengan mereka sebagai kafir atau halal darahnya.
Abdullah bin Mas’ud RA meriwayatkan dari Rasulullah SAW, bahawa Baginda bersabda:
Mafhumnya: “Celakalah orang-orang yang ekstrem (melampaui batas)!”. Baginda mengucapkannya sebanyak tiga kali. (Hadis riwayat Muslim)
Tidak dinafikan terdapat pelbagai siri penghinaan terhadap Islam yang berlaku telah melukakan hati dan perasaan seluruh umat Islam.
Walau bagaimanapun, keganasan seperti membunuh atau mencederakan orang lain atas nama Islam bukanlah penyelesaian utama bahkan ia hanya memburukkan lagi keadaan dan ia juga bukan ajaran Islam.
Semasa Rasulullah SAW melaksanakan dakwahnya, Baginda dan umat Islam lain ketika itu telah berhadapan dengan bermacam bentuk tentangan dan penganiayaan. Namun, Rasulullah SAW tetap melaksanakan dasar ketabahan dan respon berhikmah.
Natijahnya, semakin Islam ditekan dan dicemuh dengan pelbagai tohmahan, umat Islam semakin bertambah.
Bahkan dalam peperangan juga Allah SWT mengingatkan supaya tidak melampaui batas sebagaimana yang terkandung dalam Surah al-Baqarah ayat 190:
Maksudnya: “Dan perangilah pada jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas”.
Setiap anggota masyarakat memainkan pelbagai peranan sama ada ibu bapa, pendidik, rakan sebaya, pemimpin agama dan sebagainya. Kita berperanan memberi contoh teladan terbaik dan mempromosikan nilai-nilai seperti saling menghormati, dan pekerti tinggi dalam interaksi seharian.
Peranan ini tidak terhenti dalam interaksi bersemuka, bahkan termasuk juga dalam dunia maya seperti media sosial.
Sentiasalah peka dan bertimbang rasa dalam melontarkan pandangan supaya tidak menyentuh isu-isu yang sensitif seperti isu agama dan perkauman.
Tuntutlah ilmu dengan sebenar supaya dengannya, kita dapat menilai antara yang hak dan yang batil.
Sebagai sebuah Negara yang bermasyarakat majmuk, perpaduan menjadi indikator terpenting dalam merealisasikan keamanan dan keharmonian. Kita juga mesti menekankan sikap toleransi dan saling menghormati antara satu sama lain.
Toleransi pula bukanlah bermaksud kita berdiam diri apabila dihina atau dicabar, namun ia bermaksud kita mengambil pendekatan proaktif dan bukannya reaktif, serta berhikmah dalam menyelesaikan sebarang konflik.
Kehormatan dan kesucian Islam tidak dapat dipulihkan dengan keganasan, kekerasan, pembunuhan dan pemberontakan.
Ingatlah bahawa proses menyatukan masyarakat pelbagai kaum di Negara ini menuntut pengorbanan yang tinggi dalam kalangan anggota masyarakat.
Perpaduan yang dikecapi melalui penghayatan nilai-nilai seperti belas kasihan dan toleransi perlu ada dalam jiwa setiap rakyat.
Tanpa nilai-nilai tersebut, hilanglah nikmat hidup bermasyarakat dan bernegara seterusnya membuka ruang kepada musuh melaksanakan agenda mereka.
Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka itulah orang-orang yang zalim.” (Surah al-Mumtahanah ayat 8 dan 9). -Malaysiapost
