Jangan perlekehkan PH pimpinan Anwar

0
3

ANGKATAN Muda PKR menolak cadangan ‘gabungan baharu’ dalam kalangan parti pembangkang kerana ia disifat memperlekehkan Pakatan Harapan (PH).

Naib Ketuanya, Syed Badli Shah Syed Osman berkata, beliau memandang serius perkara itu kerana ia seperti memperlekeh peranan PH sebagai blok terbesar dan peneraju pakatan pembangkang.

“Peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri sebelum ini membuka ruang kepada pengkhianat untuk menubuhkan kerajaan baharu.

“Malah perletakan jawatan beliau sebagai Pengerusi PH juga telah meletakkan gabungan ini berada dalam keadaan tidak menentu.

“Kegagalan beliau sebagai peneraju PH adalah manifestasi kegagalan PH secara total dan sekali gus mencalar imej PH di mata rakyat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sebaliknya, beliau berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengambil alih kepimpinan PH telah berjaya memulihkan kembali pandangan umum dan mengembalikan keyakinan rakyat.

“Adalah tidak wajar beliau ditekan hanya kerana Belanjawan 2021 gagal ditolak, sebaliknya pembangkang wajar berterima kasih kepada Anwar kerana telah berusaha sehabis baik.

“Justeru, saya menyeru seluruh parti pembangkang untuk bersatu di bawah PH dan kepimpinan Anwar.

“Satu bentuk penyatuan kukuh adalah perlu demi memantapkan usaha mengembalikan mandat seterusnya memperkukuh kerjasama ke arah pilihanraya,” tegasnya.

Baru-baru ini, Pejuang Muda, iaitu sayap parti Pejuang diasaskan Dr Mahathir terbuka untuk menyokong apa-apa perundingan atau usaha bagi menubuhkan sebuah pembangkang yang berpadu.

Usaha itu bukan sahaja di dalam Dewan Rakyat, malah bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Ketua Penajanya,
Abu Hafiz Salleh Hudin.

Beliau menyahut gesaan Ketua Pemuda Amanah, Shazni Munir Mohd Ithnin dan Naib Ketua Pemuda Sosialis DAP Kebangsaan (DAPSY), Muhammad Shakir Ameer supaya semua parti di blok pembangkang kembali ke meja rundingan.

Ia antara lain bagi membina momentum baharu dalam satu entiti menghadapi kerajaan Perikatan Nasional (PN) serta persiapan ke arah PRU15. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here