Feri Pulau Pinang: Guan Eng lupa, mari saya ingatkan – Ka Siong

0
3

DAP diingatkan tidak memberi kenyataan yang mengelirukan rakyat apabila menuduh kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengkhianati Pulau Pinang dengan menamatkan perkhidmatan feri di negeri itu.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong membidas kenyataan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang didakwa sengaja memutar belitkan isu berkenaan.

Ka Siong berkata, ia susulan Guan Eng mendakwa perkhidmatan feri yang telah beroperasi selama 63 tahun ditamatkan, sebaliknya ia masih diteruskan dan dalam proses penambahbaikan oleh kerajaan.

“Tidak ada penamatan perkhidmatan, yang ada adalah penambahbaikan. Ia juga bukan perkara baharu, tetapi sudah pun berjalan di zaman pemerintahan Pakatan Harapan. Jika Guan Eng lupa, mari saya ingatkan.

“Mantan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sendiri telah mengumumkan di Dewan Rakyat pada 1 Ogos 2018 bahawa RM90 juta akan diperuntukkan kepada Prasarana untuk merealisasikan perkara ini.

“Namun, hampir setahun kemudian pada Ogos 2019, Loke mengatakan peruntukan RM90 juta tersebut tidak dapat dilaksanakan ketika kerajaan PH memutuskan untuk berunding dengan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) bagi mengambil alih perkhidmatan feri dan melabur dalam katamaran baru,” katanya.

Menurut Ka Siong, Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan pasti mengetahui perkara itu kerana berada dalam Kabinet kerajaan PH yang bersetuju memperkenalkan katamaran dan menggunakan feri yang ada sebagai kapal pelancong semata-mata.

“Malangnya peruntukan RM90 juta seperti diumumkan Menteri Pengangkutan ketika itu tidak disokong Guan Eng untuk mengekalkan perkhidmatan feri RoRo semasa yang boleh membawa kereta. Tetapi saya percaya Guan Eng pasti tak ingat semua ini.

“Sebab itu hari ini saya merasa sedikit pelik mengapa pimpinan DAP mengutuk kerajaan PN macam kera kena belacan?

“Apakah dosa Kerajaan PN berbuat demikian? Bukankah ini membantu rakyat Pulau Pinang? Di mana logiknya kata Pulau Pinang dikhianati sebagaimana tuduhan yang dilemparkan Guan Eng?

“Sedangkan hakikatnya katamaran sebagai pengganti feri sedia ada telah pun direstui DAP ketika mereka menjadi kerajaan,” kata Ka Siong.

Semalam, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, berkata perkhidmatan feri Pulau Pinang yang menghubungkan tanah besar di Seberang Perai dengan bahagian pulau negeri berkenaan akan diteruskan.

Katanya, kerajaan meluluskan RM30 juta kepada Pelabuhan Pulau Pinang bagi mengambil alih perkhidmatan tersebut.

Sebelum ini, perkhidmatan feri Pulau Pinang dilaporkan akan dihentikan bermula 1 Januari ini dan diganti dengan bot penumpang laju yang hanya membawa pejalan kaki serta penunggang basikal dan motosikal. – Malaysiapost

https://malaysiapost.com.my/2020/12/15/feri-diganti-bot-penumpang-laju/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here