Isu Boustead timbul ketika saya bukan lagi Menteri Pertahanan – Zahid

0
2

KEGAGALAN Boustead Naval Shipyard (BNS) Sdn Bhd (Boustead) membekalkan enam kapal peronda generasi kedua Littoral Combatant Ship (LCS) kepada Kementerian Pertahanan (MINDEF) timbul pada 2019, ketika itu saya tidak lagi memegang jawatan Menteri Pertahanan.

Demikian kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh melalui satu sidang media semalam berhubung isu tersebut.

Menjelaskan isu tersebut, Ahmad Zahid, Menteri Pertahanan antara April 2009 hingga Mei 2013 berkata LCS dibina oleh syarikat Boustead Naval Shipyard (BNS) yang dimiliki Boustead Holdings Berhad.

Pemegang saham terbesarnya adalah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) milik kerajaan, manakala pemegang saham kedua terbesar adalah KWAP yang juga milik kerajaan.

Merujuk dua laporan audit yang dibangkitkan Kah Woh, Ahmad Zahid berkata, penganugerahan kontrak kepada Boustead adalah mengikut Garis Panduan Permohonan Perolehan Secara Rundingan Terus bertarikh 17 April 2002.

Katanya, ia secara jelas menyebut rundingan terus hanya boleh dibuat setelah mendapat kelulusan Kementerian Kewangan dan bukannya Menteri Pertahanan.

“Mengenai isu denda lewat kepada Boustead, saya percaya Kementerian Pertahanan telah memberi penerangan lanjut berkaitan status isu itu.

“Kementerian juga telah menyatakan bahawa satu Surat Tuntutan telah disediakan dan diserahkan kepada “Pegawai Pengawal” untuk kelulusan.

“Dengan itu, ingin ditegaskan saya berhenti sebagai Menteri Pertahanan pada 2013 dan tidak pula menjawatnya pada 2019. Pastinya isu ini berada di luar pengetahuan saya,” katanya.

Berkenaan isu pembayaran berkala kepada Boustead, bekas Timbalan Perdana Menteri itu menegaskan ia telah dibuat pada 2019.

“Oleh itu, saya tiada pengetahuan dan kawalan ke atas sebarang keputusan yang dibuat oleh kementerian mengenai isu pembayaran berkala tersebut.

“Saya sesungguhnya menghormati peranan dan bidang kuasa PAC dalam memastikan kelangsungan struktur kerajaan dan pengurusannya.

“Bagaimanapun, saya percaya PAC harus lebih sensitif dalam mengendalikan keseluruhan proses siasatan, khususnya isu keselamatan negara kerana ia masih di peringkat siasatan,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata penjelasan itu sama sekali tidak mengubah niatnya untuk terus memberi kerjasama dan membantu PAC dalam melengkapkan siasatan.

Terdahulu PAC dilapor akan memanggil beberapa saksi lain berhubung isu perbekalan LCS.

Prosiding yang akan disambung pada awal Januari depan antara lain bakal membabitkan Ahmad Zahid yang ketika itu Menteri Pertahanan dan bekas Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.

Turut tersenarai dipanggil, wakil Bousted Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) selaku kontraktor utama projek kapal LCS yang membabitkan peruntukan keseluruhan menjangkau RM9 bilion.

Kah Woh dilapor menyifatkan isu perbekalan kapal LCS amat serius kerana ia bukan sekadar meliputi isu kelemahan atau kegagalan dari segi tadbir urus, perolehan dan kewangan.

Sebaliknya, beliau berkata, ia berupaya memberikan impak terhadap aspek keselamatan dan pertahanan negara. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here