“TUN Rahah Mohamed Noah, ibu saudara yang saya cukup rapat,” kata Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Hishammuddin berkata, banyak masa beliau membesar di bawah penjagaan isteri Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein itu yang disifatkannya amat penyayang, prihatin, baik hati dan tabah.
“Ketika Allahyarham Tun Abdul Razak meninggal dunia, Tun Rahah baru berusia 43 tahun. Saya kagum dengan kecekalan beliau membesarkan lima anak lelaki yang juga sepupu saya sendiri.
“Saya kerap ziarah beliau dalam beberapa bulan ini termasuklah yang terbaru semalam. Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata betapa sedihnya saya apabila dimaklumkan beliau telah pergi buat selama-lamanya.
“Apa yang saya rasai ketika ini sama seperti ketika Allahyarhamah Bonda saya menghembuskan nafas terakhir enam tahun lalu,” luahnya menerusi hantaran di Facebook sebentar tadi.
Beliau juga mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga dan sepupu-sepupunya, Najib Razak, Nazir, Nizam, Nazim dan Johari atas kehilangan bonda tercinta.
“Ya Allah Ya Tuhanku Yang Maha Penyayang Lagi Maha Pengampun. Ampunilah dosa ibu saudaraku ini, terimalah setiap amal kebaikannya dan tempatkanlah ibu saudaraku ini bersama para HambaMu yang diredhai,” tulisnya.
TUN Rahah meninggal dunia pada usia 87 tahun di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur, hari ini.
Anak sulungnya, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengesahkan berita sedih itu menerusi Facebooknya sebentar tadi. – Malaysiapost

