PERSATUAN Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) hari ini menggesa kerakyatan Pengarah filem ‘Babi’, Namewee ditarik balik.
Ia sebagai hukuman di atas tindakannya yang sering menimbulkan ketegangan kaum di negara ini.
Presidennya, Leftenan Kolonel (Bersekutu) Che Hassan Che Johan, berkata tidak kira atas dasar apa sekalipun, sewajarnya hukuman ke atas Namewee dikenakan sebagai pengajaran kepada semua.
Katanya, pihaknya percaya jika tiada tindakan dikenakan, penyanyi itu akan mengulangi lagi kesalahan sama dan memberi pelbagai alasan tidak munasabah.
“Kita tidak mahu dengar penjelasannya, yang kita mahu adalah tindakan kerana apa yang dilakukan jelas satu penghinaan dan menjejaskan nama baik Malaysia,” katanya.
Namewee atau nama sebenarnya Wong Meng Chee dicemuh banyak pihak susulan filem terbarunya berjudul ‘Babi’.
Poster filem berkenaan didapati
menggunakan perkataan Melayu Bodoh, India Keling dan Cina Babi yang dianggap keterlaluan.
Justeru itu, Che Hassan turut mengingatkan aktivis sosial supaya tidak mengambil isu itu sebagai ‘mileage’ politik seperti beberapa isu sebelum ini.
“Ini negara kita dan kita wajib mempertahankannya dari sebarang bentuk penghinaan atau perbuatan yang boleh menggugat kestabilan kaum.
“Selama ini kita semua hidup harmoni, jangan sesekali kita runtuhkannya hanya kerana ingin menjaga seorang individu,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Gerakan Transformasi Pengguna Malaysia (GTPM) Azman Kang Abdullah, berkata, biarpun dihasilkan atas alasan kreativiti seni, ia tidak boleh diterima kerana jelas boleh menimbulkan ketegangan antara kaum.
“Penyanyi itu juga sudah beberapa kali mencabar kesabaran rakyat di negara ini dengan pelbagai isu serta provokasi melampau,” katanya. -Malaysiapost

