KERAJAAN membenarkan pembukaan semula sektor sukan dan rekreasi termasuk penganjuran Liga Malaysia (Liga-M) secara berfasa berkuat kuasa 1 Januari ini.
Bagaimanapun aktiviti tersebut tidak dibenarkan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata penganjuran kejohanan tempatan dibenarkan dengan kapasiti penonton 10 peratus atau maksimum 4,000 orang, tetapi sukan dengan penyertaan lebih 500 peserta seperti larian, berbasikal dan maraton tidak dibenarkan.
Katanya, prosedur operasi standard (SOP) bagi kelonggaran itu masih tertakluk kepada syarat tertentu.
Beliau menjelaskan, keputusan membenarkan sektor sukan dan rekreasi dibuat setelah pembentangan SOP oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) semalam.
“Di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), aktiviti sukan dan rekreasi dibenarkan dengan mematuhi SOP ditetapkan.
“Penganjuran kejohanan tempatan adalah dibenarkan dengan kapasiti penonton 10 peratus atau maksimum 4,000 penonton.
“Aktiviti massa yang melibatkan penyertaan melebihi 500 orang pada satu masa seperti acara larian, berbasikal dan maraton adalah tidak dibenarkan,” katanya hari ini.
Ismail Sabri berkata, di kawasan PKPB, aktiviti sukan dan rekreasi kategori individu serta berpasukan bagi tujuan aktiviti latihan, permainan dan perlawanan sama ada sukan dalaman (indoor) atau di tempat terbuka (outdoor) tanpa penonton adalah dibenarkan.
Beliau turut mengumumkan perlawanan bola sepak Liga Malaysia dibenarkan bermula Januari ini.
“Bagi negeri PKPP, jumlah kehadiran penonton dihadkan 10 peratus daripada kapasiti tempat duduk atau maksimum 4,000 orang.
“Bagi negeri PKPB, perlawanan adalah tanpa kehadiran penonton,” katanya. – Malaysiapost

