MEROSAKKAN muafakat Perikatan Nasional (PN) bukan saja merosakkan dasar, bahkan bakal kehilangan kawan dan memberi talian hayat kepada lawan, kata Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa.
Beliau berkata, permuafakatan 12 parti politik yang termeterai pada Ramadan lalu dibina bersama secara kukuh sehingga tumbangnya Pakatan Harapan (PH) dan DAP.
Katanya, permuafakan itu kekal sebagai keputusan parti yang mendasar dan terus dipertahan oleh Umno, Barisan Nasional (BN) dan Muafakat Nasional (MN) serta didokong majoriti ahli parti dan rakyat.
“DAP dan PH sedang berusaha memecahkan permuafakan ini. Namun setakat ini, presiden parti (Umno) dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) tetap utuh, walau dicuba berkali kali oleh beberapa individu.
“Merosakkan kesatuan dan muafakat ini merupakan pelanggaran dasar parti yang amat besar risikonya.
“Bukan saja kita kehilangan kawan, tetapi juga memberi talian hayat kepada lawan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Semalam, semua parti dalam kerajaan PN bersetuju sebulat suara menubuhkan Majlis Presiden yang akan dianggotai oleh ketua parti masing-masing.
Sekretariat Setiausaha Agung Parti-Parti Dalam Kerajaan PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata ia sebagai platform membincangkan dasar kerajaan dan mengukuhkan kerjasama antara parti.
Katanya, perkara itu dipersetujui semua ketua parti dalam mesyuarat dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. – Malaysiapost

