Penubuhan Majlis Presiden Kerajaan PN perkukuh kerjasama parti

0
2

CADANGAN menubuhkan Majlis Presiden Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai semua presiden parti dalam kerajaan PN adalah wadah penting untuk memperkukuhkan kerjasama antara parti.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata penubuhan majlis itu akan dapat memastikan kestabilan politik negara serta menjamin kesejahteraan rakyat dan negara.

“Kami telah mempersetujui beberapa langkah ke hadapan termasuk penubuhan Sekretariat Setiausaha Agung parti-parti dalam kerajaan PN.

“Selain penggubalan piagam antara parti yang akan dibincangkan di peringkat parti masing-masing dan persiapan pilihan raya,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata Majlis Presiden akan bertemu lebih kerap dengan pertemuan pertama pada awal tahun depan untuk mendengar taklimat mengenai kedudukan ekonomi semasa, pengurusan Covid-19 dan penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Beliau turut melahirkan rasa amat gembira dapat bersua muka dan berbincang dengan presiden-presiden dan wakil-wakil parti mengenai pengukuhan kerjasama politik antara parti dalam kerajaan PN.

“Saya merakamkan penghargaan kepada semua pimpinan parti yang telah sebulat suara mempersetujui pembentukan Majlis Presiden Kerajaan PN dan bertekad untuk mengorak langkah bersama demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here