DATUK Seri Najib Razak meminta orang ramai khususnya pengikut laman sosialnya supaya mendoakan ibunya, Tun Rahah Mohamed Noah yang kini menerima rawatan di sebuah hospital tempatan.
Ahli Parlimen Pekan itu memaklumkan ibunya kurang sihat dan ramai yang datang menziarah.
“Saya minta saudara-saudari tolong doakan agar bonda diberi kekuatan dan sembuh.
“Ini tempoh yang amat sukar dan merisaukan untuk kami sekeluarga,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya malam ini.
Najib turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta para pemimpin lain atas kesudian menziarahi ibunya.
Dalam hantaran berasingan, bekas Perdana Menteri itu merafak sembah dan menjunjung kasih Kepada bawah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah atas perkenan mencemar duli berangkat menziarahi bondanya. – Malaysiapost

