PARAS air di Sungai Golok di Rantau Panjang, Kelantan melepasi tahap bahaya 9 meter setakat jam 8 pagi ini apabila mencatat bacaan 9.07 meter, susulan hujan lebat sejak semalam.
Ketua Balai Bomba Rantau Panjang, Imran Ismail, berkata peningkatan paras air Sungai Golok berkemungkinan menyebabkan banjir gelombang kedua jika hujan berterusan.
“Jika taburan hujan terus meningkat, kemungkinan pekan Rantau Panjang dinaiki air apabila bacaan paras Sungai Golok melebihi 10.30 meter sehingga 11 meter.
“Biasanya, apabila Sungai Golok mencatat bacaan lebih 9.30 meter, beberapa jalan di kawasan rendah seperti di Kampung Gual To’Deh, Kampung Luar, Kampung Jejawi, Kampung Bongor dan Kampung Putat Tujuh, mula dinaiki air separas 0.3 sehingga 0.5 meter.
“Orang ramai diharap lebih berhati-hati dan sentiasa peka dengan keadaan banjir kerana paras sungai boleh meningkat dengan cepat, tambahan pula jika kawasan hulu sungai turut menerima taburan hujan yang tinggi,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Gelombang pertama banjir hujung November lalu, kata Imran, tidak begitu besar dan hanya melanda kawasan rendah tanpa menjejaskan pekan Rantau Panjang.
“Jika air terus naik mendadak, saya menasihatkan penduduk di sekitar kawasan sungai mengambil langkah awal berpindah ke tempat selamat selain menyimpan dokumen penting lebih awal,” katanya.
Mengikut laporan infobanjir.water.gov.my, dua stesen iaitu sungai di Kampung Jenob, Tanah Merah pula mencatat bacaan 22.92 meter melebihi paras amaran iaitu 22.50 meter dan sungai Kampung Manik Urai, Kuala Krai menunjukkan bacaan 24.70 meter berbanding paras amaran 20.10 meter. – Malaysiapost

