Nurul Huda Abhar
KERAJAAN bersetuju melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Selangor kecuali daerah Sabak Bernam, Hulu Selangor, dan Kuala Selangor bermula 21 sehingga 31 Disember 2020.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, secara kumulatif sehingga 17 Disember, sebanyak 22, 931 kes positif Covid-19 telah direkodkan di Selangor.
“Berdasarkan penilaian risiko Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat peningkatan ketara kes Covid-19 di 19 daerah perindustrian di Selangor berikutan saringan pekerja sektor perkilangan dan tapak binaan.
“KKM turut mengesahkan bilangan jangkitan Covid-19 dalam kalangan warganegara semakin meningkat,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata secara kumulatif sehingga 17 Disember sebanyak 9,426 kes positif Covid-19 telah direkodkan di Kuala Lumpur.
Katanya, sehingga kini KKM mengesahkan terdapat peningkatan ketara kes Covid-19 dalam kalangan bukan warganegara.
“Hasil saringan di tempat kerja dan wujud beberapa kluster baharu. Oleh itu atas nasihat dan penilaian risiko KKM, kerajaan bersetuju agar melanjutkan PKPB di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020,” ujarnya. – Malaysiapost

