BEKAS Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mazlan Aliman meletakkan jawatannya sebagai Pengerusi Biro Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Amanah Nasional, termasuk Ahli Jawatan kuasa parti itu, 30 Oktober lalu.
Beliau berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada Presiden Amanah, Mohamad Sabu pada tarikh yang sama.
“Hari ini, Jumaat 18 Disember 2020, saya umumkan secara rasmi bagi mengelak prasangka dan tanda tanya khususnya menjelang Konvensyen Amanah Nasional pada 26 dan 27 Disember ini di Melaka.
“Saya mula terlibat dalam politik sejak 1986. Terlibat dengan PAS dan kini Amanah di era pemerintahan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).
“Suka duka, susah senang dalam perjuangan selama 34 tahun, banyak pengalaman yang dirasai dan pengajaran berguna sebagai muhasabah diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mazlan berkata, beliau berhasrat untuk memberi tumpuan penuh kepada beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkannya bersama rakan-rakan.
“Antaranya Majlis Permuafakatan Ngo Felda (MPNF), Pertubuhan Gerak Tani Negeri Johor dan Ngo Malaysia Baru.
“Selaku anak peneroka Felda yang dibesarkan dalam persekitaran Felda yang penuh warna warni, saya menerima banyak pendedahan dan berinteraksi dengan banyak pihak.
“Ia menguji prinsip dan intergriti kita, antara kepentingan peribadi atau peneroka felda yang kerap kali menjadi mangsa ketidakadilan,” katanya.
Mazlan yang juga bekas Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) berkata beliau terhutang budi kepada Datuk Seri Salahudin Ayub yang melantiknya sebagai Pengerusi LPP selama 16 bulan.
“Menggalas amanah di agensi terbesar dalam Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan menimba banyak pengalaman meskipun dalam tempoh yang singkat.
“Ia mendorong saya menubuhkan NGO Pertubuhan Gerak Tani sebagai kesinambungan membina rangkaian para usahawan tani di seluruh negara.
“Saya menyasarkan dua tahun bagi NGO ini memaksimumkan usaha membantu usahawan tani hingga ke peringkat eksport antarabangsa,” katanya.
Justeru, katanya, sebagai ahli politik yang telah bergelumang dari bawah polemik dan pertembungan dalaman parti serta berdepan lawan politik yang pelbagai sifatnya, membuatkan kematangan dalam melihat masa hadapan negara adalah amat penting.
“Sudah sampai masanya politik baharu, konsolidasi yang merentasi politik kepartian dapat dijayakan.
“Meskipun kita berbeza pandangan dan idealogi politik dari sistem demokrasi berparlimen, keutamaan adalah keselesaan dan kebahagiaan hidup rakyat.
“Politik akan melalui kemahuan yang kuat untuk mengubah nasib rakyat mesti diserlahkan. Bukan hanya retorik dan saling berebut kuasa yang tiada kesudahannya.
“Inilah Malaysia Baru yang saya yakin diimpikan dan menjadi harapan seluruh rakyat Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

