Akar umbi Amanah sokong idea “Grand Coalition”

0
1

SERAMAI 108 pemimpin akar umbi Parti Amanah Negara (Amanah) menyokong idea politik baharu Gabungan Besar atau “Grand Coalition” sebagai anjakan politik seperti dinyatakan Presiden parti, Mohamad Sabu.

Menerusi kenyataan yang ditandatangani semua 108 pemimpin terbabit, menyatakan kesatuan dalam kalangan semua parti komponen pembangkang amat mustahak bagi menghadapi cabaran politik yang mendatang serta persediaan bagi Pilihan Raya raya Umum ke-15 (PRU15).

Pakatan Harapan (PH), kata mereka, perlu mengambil langkah progresif bagi membuka semula pintu rundingan kepada parti-parti pembangkang lain bagi membina semula imej dan kekuatan.

“Idea Politik Baharu Gabungan Besar atau disebut sebagai “Grand Coalition” bukanlah satu perancangan untuk membelakangi mana-mana parti komponen PH.

“Akan tetapi kita memerlukan ikhtiar baharu dalam mobilisasi gabungan parti pembangkang dalam satu visi dan misi yang sama iaitu dengan menolak kleptokrasi dan mengangkat nilai demokrasi, integriti serta urustadbir yang baik.

“Sudah sampai masa untuk pimpinan PH dan parti pembangkang lain memberi fokus kepada penyatuan dan kesepaduan bagi menggembleng usaha supaya dapat bergerak sebagai satu pasukan, menampilkan wajah-wajah baharu kepimpinan yang segar dan mengenepikan perbezaan serta bebanan lampau,” katanya.

Baru-baru ini, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub dilaporkan berkata parti itu menyambut baik syor membentuk gabungan besar pembangkang yang dilihat sebagai teras penting sebagai persediaan menghadapi PRU15.

Beliau seterusnya mengajak semua parti pembangkang bersama-sama gabungan dalam PH untuk merealisasikan matlamat itu.

Pembentukan gabungan besar itu disarankan oleh Timbalan Presiden Parti Pejuang Tanahair, Datuk Wira Marzuki Yahya dan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal.

Kelmarin, Mohamad dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menerusi kenyataan bersama berkata PH perlu membuat anjakan politik dan tidak perlu mengejar bayang-bayang selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal menarik sokongan Ahli Parlimen kerajaan pada undian Belanjawan 2021, Selasa lalu.

Kedua-dua pemimpin berkata, keputusan undian itu mengajar PH supaya tidak membazirkan tenaga mengejar bayang-bayang dan tidak membuang masa dengan Ahli Parlimen kerajaan oportunis.

Kata mereka, kelompok itu hanya memperalatkan PH untuk kepentingan peribadi agar memperoleh tawaran yang lebih lumayan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“PH harus berdepan realiti ini, perlunya suatu anjakan politik semula bagi tumpuan kepada menyatukan rakan-rakan kita dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang yang berdiri bersama pada Selasa,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here