KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan mengkaji semula skim gaji termasuk elaun Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar setimpal dengan skop perkerjaaan.
Presidennya, Adnan Mat, berkata pihaknya telah mengadakan pertemuan bersama Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Hamid Bador hari ini, antara lain membincangkan hal-hal kebajikan dan keselamatan warga kerja PDRM sentiasa terjamin.
Melalui pertemuan tersebut, katanya, beberapa perkara telah dikenalpasti wajar diberi perhatian khusus oleh kerajaan.
“CUEPACS menggesa kerajaan supaya mengkaji semula skim gaji anggota polis termasuk elaun-elaun semasa yang diterima, selaras cabaran semasa dalam skop kerja anggota keselamatan negara tersebut.
“CUEPACS berpendapat cadangan ini penting bagi mengelak anggota dan pegawai agensi penguatkuasa, khususnya polis terjerumus ke dalam jenayah salah laku.
“Sudah tiba masanya bagi kerajaan secara serius melihat dan mengkaji semula skim gaji serta kebajikan anggota polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Adnan berkata, CUEPACS merasakan skim gaji dan elaun semasa anggota polis tidak setimpal dengan beban kerja ditanggung ketika ini.
“Sebagai contoh, anggota polis kebanyakannya bekerja lebih daripada masa yang normal bagi pekerja biasa iaitu purata 12 jam sehari dan sekiranya ada operasi ia boleh mencecah sehingga 24 jam.
“Lebihan masa bertugas itu pula tidak boleh dituntut elaun kerja lebih masa. Ia belum mengambil kira dipanggil bertugas walaupun sedang bercuti,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, CUEPACS tidak mahu disebabkan beban kerja yang berat dan tidak setimpal dengan gaji diterima menyebabkan anggota polis merasakan perlu melakukan ‘sesuatu’ yang menyalahi undang-undang.
“Seperti yang disebutkan oleh KPN, gaji yang tidak setimpal ini boleh menggalakkan anggota polis tahan orang dan jatuh hukum di situ juga iaitu jadi ‘majistret jalanan’ (ambil rasuah).
“Apabila kebajikan dan kesejahteraan anggota polis ini dijaga dengan sewajarnya, sudah tentu dapat membendung gejala rasuah dan salah guna kuasa,” tegasnya.
Dalam pada itu, katanya, CUEPACS turut mencadangkan lebih banyak perumahan atau kuarters untuk anggota polis dibina pada masa akan datang.
“Kuarters-kuarters lama yang ada juga perlu diperbaiki segera kerana kebanyakannya sudah tidak sesuai lagi didiami.
“Pembinaan kawasan perumahan atau kuarters berhampiran dengan kawasan kerja juga boleh meningkatkan lagi kesejahteraan anggota polis.
“Ia kerana mereka tidak perlu untuk membeli atau menyewa rumah di kawasan yang jauh kerana faktor harga rumah yang tinggi.

“Sudahlah mereka ini bekerja lebih masa, terpaksa pula berulang- alik jauh dari rumah,” katanya. -Malaysiapost

