INDIVIDU yang hanya memakai pelindung muka (face shield) tanpa pelitup muka di kawasan sesak boleh dikenakan kompaun, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau menegaskan, ia jelas melanggar prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 yang diwartakan.
“Setakat ini Kementerian Kesihatan (KKM) belum membenarkan pelindung muka menggantikan pelitup muka kecuali kepada pelajar sekolah.
“Pemakaian pelitup muka masih diwajibkan, jadi bagi yang memakai pelindung muka, masih perlu memakai pelitup muka di dalamnya dan pihak berkuasa boleh mengambil tindakan terhadap individu yang melanggar SOP ditetapkan,” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas sama ada pihak berkuasa boleh mengenakan kompaun terhadap individu yang memakai pelindung muka tanpa pelitup muka di kawasan sesak, seperti garis panduan KKM. – Malaysiapost

