Uniqlo Damansara Avenue diarah henti operasi beberapa jam

0
1

KEHADIRAN sejumlah besar pengunjung semasa pembukaan Uniqlo di Damansara Avenue, Petaling Jaya pagi tadi mencetuskan kebimbangan pihak berkuasa.

Berikutan itu, premis berkenaan diminta menghentikan operasi selama beberapa jam tidak lama selepas pintu dibuka untuk membersihkan kawasan tersebut dan meningkatkan kawalan orang ramai.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata orang ramai mula berkumpul seawal jam 8.30 pagi walaupun pintu dibuka pada 10 pagi.

“Pengurusan memang mematuhi peraturan untuk mencegah penyebaran Covid-19 dengan hadkan 50 pelanggan pada satu-satu masa.

“Namun, tidak ada penyelarasan bagi mereka yang berbaris di luar. Terdapat lebih 100 orang di luar,” katanya dilapor Malaysiakini.

Oleh itu, anggota polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengarahkan kedai itu ditutup untuk menangani orang ramai yang beratur di luar bangunan.

“Mereka diizinkan untuk dibuka semula pada jam 4 petang. Sekarang, ada barisan pengunjung yang lebih wajar di luar dan kami di sana untuk memantau keadaan,” katanya.

Uniqlo adalah jenama pakaian Jepun yang sangat popular yang sebelum ini hanya beroperasi di pusat beli belah di Malaysia.

Cawangan terbaru mereka di Damansara Avenue itu mengambil konsep premis tepi jalan dan dilancarkan sempena ulang tahun ke-10 syarikat itu di Malaysia.

Pengunjung yang hadir di cawangan baru itu boleh menuntut beg barang percuma dan membeli barang-barang yang tersedia secara eksklusif semasa pelancaran, termasuk kolobrasi UTme! dan Mamee.

Menurut Oriental Daily, orang ramai di luar bangunan itu dalam keadaan teratur dan pihak berkuasa memantau keadaan dengan teliti. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here