Kemelut TNB: Persatuan Sekerja ambil pendirian berkecuali

0
1

Fitri Nizam

JAWATANKUASA Bersama Kesatuan/Persatuan Sekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengambil pendirian neutral dan berkecuali dalam kemelut membabitkan isu berbaur politik.

Menurut satu kenyataan bersama yang dikeluarkan, Kesatuan/Persatuan Sekerja TNB itu meletakkan keutamaan tertinggi dalam memperjuangkan isu-isu kebajikan ahli dalam TNB.

Ia berikutan Kesatuan/Persatuan Sekerja TNB itu mewakili pelbagai lapisan pekerja dalam TNB.

“Kemelut yang berlaku melibatkan kedudukan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB pada ketika ini adalah di luar bidang kuasa Kesatuan/Persatuan Sekerja TNB.

“Oleh itu, Jawatankuasa Bersama Kesatuan/Persatuan Sekerja TNB berharap agar pihak kerajaan dapat membuat satu keputusan tepat mengenai perkara ini,” katanya dalam kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu ditandatangani oleh Presiden Kesatuan Pegawai Perkhidmatan Sokongan TNB, Mohd Roszeli Majid; Yang Dipertua Persatuan Eksekutif TNB, Ir Dr Harriezan Ahmad; Yang Dipertua Persatuan Unit Keselamatan TNB, Mohd Jaaffril Mat Isa@Esa dan Presiden Persatuan Pegawai-Pegawai Eksekutif TNB, Jamal Mohamad Abdul Aziz.

Justeru, menurut kenyataan itu lagi, Jawatankuasa Bersama Kesatuan/Persatuan Sekerja TNB tidak terikat dengan pendirian Kesatuan Percantuman Pekerja-Pekerja TNB (KPPPTNB).

“TNB merupakan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang tertakluk kepada keputusan kerajaan hari ini.

“Sehubungan itu, Kesatuan/Persatuan Sekerja TNB seperti tersenarai akan mematuhi dan menghormati keputusan dibuat oleh kerajaan dalam menentukan kepimpinan serta halatuju syarikat.

“… sama ada mengekalkan kepimpinan yang sedia ada atau menukarkan dengan kepimpinan yang baharu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here