Terima kasih PM – Tengku Zafrul

0
1

MESKIPUN lega selepas Belanjawan 2021 diluluskan di Dewan Rakyat semalam, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz tidak lupa untuk mengucapkan penghargaan terima kasih kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Terima kasih juga diucapkan kepada Perdana Menteri atas sokongan dan keyakinan beliau yang tidak berbelah bahagi kepada saya dan juga warga Kementerian Kewangan dalam memikul amanah merangka, membentang, menambahbaik serta mempertahan Belanjawan 2021.

“Terima kasih kerana sentiasa mendengar pandangan dan cadangan kami serta memberi nasihat dan panduan secara berterusan,” katanya memetik laporan Suara Merdeka.

Tengku Zafrul berkata, dirinya bersama dengan dua Timbalannya serta warga Kementerian Kewangan telah melakukan yang terbaik untuk menyediakan belanjawan luar biasa ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19 ini

“Tidak dilupakan juga, sumbangan warga Kementerian Kewangan, agensi-agensi MOF dan juga agensi-agensi kerajaan lain yang telah memberi komitmen sepenuhnya tanpa mengenal penat lelah serta mengambil kira lebih 6,600 cadangan merentasi kesemua negeri di Malaysia, bagi merangka Belanjawan 2021 yang komprehensif.

“Ini di samping kesemua usaha menyediakan dan melaksanakan tidak kurang daripada empat pakej rangsangan ekonomi sejak bulan Mac, demi rakyat, perniagaan dan ekonomi negara tercinta,” kata Tengku Zafrul.

Tengku Zafrul juga berharap Belanjawan 2021 akan meneruskan momentum pemulihan ekonomi negara dan mencapai matlamat yang dihasratkan.

“Moga kesemua rakyat dapat dibantu, perniagaan dapat diperkasa, dan ekonomi dapat diperkukuh.

“Moga wabak Covid-19 dijauhkan, dan kesihatan didekati. Walau apa-apa pun cabaran yang mungkin berbangkit (dan sememangnya akan ada kekangan, ujian serta halangan), namun didoakan kita semua dikurniakan kecekalan, ketahanan dan kesabaran. Moga niat ikhlas kita diberkati, usaha dan amanah kita dirahmati,” katanya.

Belanjawan 2021 bacaan kali ketiga diluluskan dengan kelebihan tiga undi menerusi undi belah bahagi di Dewan Rakyat, semalam. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here