Terima kasih semua – PM

0
1

Muhammad Mustakim Ramli

TAN Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen khususnya dari kerajaan kerana memberi sokongan kepada Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 sehingga diluluskan oleh Dewan Rakyat hari ini.

Perdana Menteri berkata, ini membuktikan Ahli Parlimen yang menyokong menyedari dan menginsafi belanjawan itu sangat penting kepada kerajaan bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan yang sudah dirancang.

“Alhamdulillah, saya sekali lagi melahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT apabila Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 diluluskan oleh Dewan Rakyat hari ini.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang telah menyokong Belanjawan 2021 dari peringkat dasar, peringkat jawatankuasa sehingga kepada bacaan kali ketiga.

“Saya juga ingin merakamkan terima kasih kepada semua Ahli Parlimen kerajaan yang turut menyokong rang undang-undang ini ketika dibahaskan pada peringkat 27 kementerian sehingga diluluskan sama ada menerusi undian suara atau belah bahagi,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Muhyiddin berkata, sokongan padu itu membuktikan kerajaan PN sentiasa mengambil kira kebajikan, keselamatan nyawa, kesejahteraan hidup rakyat serta pemulihan ekonomi negara dalam apa sahaja tindakan yang diambil.

“Ini juga membuktikan Ahli-ahli Parlimen yang menyokong menyedari dan menginsafi belanjawan ini sangat penting kepada kerajaan bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan yang sudah dirancang dengan keutamaan sudah tentunya untuk melawan pandemik Covid-19 serta meningkatkan taraf hidup rakyat seluruh lapisan masyarakat terutama golongan B40, M40, golongan rentan serta kurang bernasib baik.

“Pendirian Ahli-ahli Parlimen yang menyokong belanjawan ini turut membuktikan mereka menjunjung tinggi titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang mahu belanjawan ini diluluskan tanpa gangguan, lebih lagi dalam keadaan negara berhadapan ancaman Covid-19,” katanya.

Beliau juga berharap Ahli-ahli Parlimen dapat terus memberikan khidmat terbaik untuk rakyat dan negara.

“Saya sekali lagi ingin mengucapkan tahniah kepada Menteri Kewangan dan Kementerian Kewangan yang bekerja keras menyediakan Belanjawan 2021 ini dari peringkat awal sehingga diluluskan hari ini.

“Terima kasih juga kepada seluruh rakyat yang dengan ikhlas mendoakan agar Belanjawan 2021 ini diluluskan demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup mereka,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here