Bayi ditikam bapa kini dijaga JKM

0
1

BAYI perempuan berusia 18 bulan yang cedera parah ditikam bapanya dalam kejadian di sebuah flat di Puchong Permai, Subang Jaya Sabtu lalu, kini diserahkan dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Abd Khalid Othman berkata, bayi itu yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL), dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Abd Khalid berkata, siasatan lanjut mendapati kejadian berlaku akibat tekanan yang dialami suspek kerana berpisah dengan isterinya iaitu ibu mangsa tahun lepas, selain pengaruh dadah

“Bekas isteri suspek telah dikenal pasti dan dimaklumkan mengenai kejadian itu. Walaupun sudah bercerai, tetapi wanita berkenaan dilaporkan masih berhubung dan tinggal berdekatan rumah nenek mangsa,” katanya seperti dilapor Bernama.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, lelaki itu dipercayai menikam perut bayi perempuannya menggunakan pisau pemotong roti.

Suspek berusia 27 tahun itu ditangkap tidak lama selepas kejadian dan direman lima hari hingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here