RANCANGAN Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk mengindahkan semula tapak kondominium Highland Towers dan menjadikannya tapak bersejarah, dapat mengubah stigma masyarakat yang menyifatkan kawasan itu sebagai menakutkan.
Presiden Persatuan Penduduk Taman Sri Ukay/Hill View Siti Hendon Chek berkata pihaknya mengalu-alukan rancangan tersebut, memandangkan kawasan dengan bangunan terbiar selama 27 tahun itu sebelum ini menjadi sarang penagih dadah, serta mengundang masalah sosial setempat.
“Jika sebelum ini kami hidup dalam keadaan kurang selesa, sekurang-kurangnya dengan berita (rancangan) ini, kami mampu menarik nafas lega sekiranya struktur bangunan itu diroboh dan dijadikan kawasan yang indah.
“Justeru, kami minta pihak lain tidak memperbesar perkara ini dan kerja meroboh bangunan dilakukan secepat mungkin, supaya pengindahan kawasan dapat dijalankan,” katanya seperti dilapor Bernama.
Baru-baru ini Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dilaporkan berkata, KPKT merancang memberi nafas baharu di kawasan Highland Towers dengan mengindahkannya sekali gus menjamin kesejahteraan penduduk.
Tragedi Highland Towers pada 11 Disember 1993 menggemparkan negara, apabila satu daripada tiga blok kondominium yang terletak di Taman Hillview, Ulu Klang runtuh, dan meragut 48 nyawa. – Malaysiapost

