MP jalani kuarantin dapat kebenaran KKM hadir mengundi

0
1

[PARLIMEN] Yang Dipertua Dewan Rakyat meminta isu kelonggaran kepada Ahli Parlimen yang dikenakan arahan pemerhatian di rumah (HSO) untuk hadir mengundi di Dewan Rakyat tidak dipolitikkan.

Datuk Azhar Azizan Harun berkata setiap Ahli Parlimen berhak mengundi sekiranya wujud keperluan berbuat demikian dan kelonggaran itu diberi selepas kelulusan dan pertimbangan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Pagi ini, saya difahamkan ada tiga orang yang minta kebenaran untuk hadir ke dewan bagi mengundi.

“Mereka ini akan dibawa menggunakan ambulans dengan memakai pakaian perlindungan diri (PPE) dan ditempatkan di bilik khas.

“PPE baharu perlu dipakai sekiranya mereka ingin masuk ke dewan, tetapi ditempatkan di galeri awam bagi mengikuti proses pengundian,” katanya.

Azhar berkata ketika pengambilan undi, penghitung akan memakai pelindung muka, manakala Ahli Parlimen terbabit akan segera diminta meninggalkan galeri awam sejurus mengundi.

Difahamkan, dua Ahli Parlimen blok kerajaan yang menjalani perintah HSO ialah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

Dr Adham (BN – Tenggara) sebelum ini mengesahkan beliau menjalani HSO hingga 18 Disember kerana menjadi kontak rapat seorang petugas media yang positif Covid-19.

Saravanan (BN – Tapah) pula memaklumkan beliau menjalani perintah HSO selepas menjadi kontak rapat kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF), Datuk Shahul Hameed Dawood, yang positif Covid-19. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here