[PARLIMEN] MENTERI Kanan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilantik mengetuai satu jawatankuasa khas meneliti semua 49 syor dalam laporan akhir Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).
Selepas selesai proses penelitian, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan telah bersedia untuk membentangkan kandungan laporan itu kepada orang awam untuk mendapat maklum balas.
“Saya yakin laporan ini juga akan dibentang di Dewan Rakyat, dan jika ada keperluan untuk berbuat demikian, ia akan dibahaskan sama ada secara langsung atau tidak langsung,” katanya.
Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH – Kota Melaka) di Dewan Rakyat, hari ini.
Poay Tiong bertanyakan sama ada kerajaan akan menerbitkan laporan akhir ERC kepada Ahli Parlimen dan untuk orang awam.
Takiyuddin juga berkata, jawatankuasa itu antara lain akan melihat kemampuan kerajaan dalam melaksanakan setiap syor mengikut keutamaan.
Terdahulu, Takiyuddin dalam jawapan lisannya mengesahkan ERC, yang diketuai bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, telah menyerahkan laporan akhir kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 27 Ogos.
Laporan itu dibuat berdasarkan sesi libat urus dengan 21 pemegang taruh selama 16 bulan, iaitu sejak ERC ditubuhkan pada Ogos 2018, yang merupakan sebahagian daripada agenda reformasi institusi pentadbiran Pakatan Harapan (PH). – Malaysiapost

