Fitri Nizam
BEKALAN air di wilayah Klang/Shah Alam yang mengalami gangguan tidak berjadual, dijangka pulih sepenuhnya jam 12 tengah hari ini.
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), berkata kerja-kerja pembaikan paip pecah di Jalan Persiaran Jubli Perak Seksyen 24, Shah Alam telah siap dilaksanakan pada jam 6 pagi tadi.
Paip di lokasi terbabit dilaporkan pecah semalam hingga mengakibatkan Seksyen 18, 19, 20, 23, 24 dan 25 di wilayah Klang/Shah Alam mengalami gangguan bekalan air.
“Seperti dimaklumkan, bekalan air di enam kawasan ini dijangka akan pulih sepenuhnya pada jam 12 tengah hari, hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Untuk maklumat lanjut dan status terkini bekalan air, sila layari laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com.
Pengguna juga boleh merujuk semua saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti aplikasi telefon pintar Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau menghubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300. – Malaysiapost

