Najamuddin Mohd Nor
[PARLIMEN] KES penderaan kanak-kanak mencatatkan penurunan hampir separuh ganda berbanding tahun lalu.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, sehingga September hanya 3,875 kes penderaan kanak-kanak dilaporkan berbanding daripada 6,061 pada 2019.
Menurutnya, daripada jumlah itu, 1,120 kes melibatkan penderaan fizikal, 1,373 penderaan seksual, 1,251 kes pengabaian dan baki 131 kes melibatkan penderaan biasa.
Siti Zailah berkata, meskipun pelbagai program giat dilaksanakan kerajaan bagi membendung kes penderaan kanak-kanak, kerjasama pelbagai agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti amat ditagih untuk membentuk teras utama penyampaian perkhidmatan berkesan
“Antara program dilaksanakan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ialah mengadakan sistem semakan pesalah jenayah seksual dalam daftar kanak-kanak.
“Kedua, senarai semak panduan infografik bagi pemilihan pengasuh dan ketiga program keselamatan kanak-kanak, selain keempat program pendidikan keselamatan keluarga.
“Kita juga memperluaskan talian e-kasih 15999 dan WhatsApp 019-2615999 bagi perkhidmatan sokongan kaunseling dan pertanyaan serta aduan melibatkan isu penderaan dan pelantikan pembantu pelindung untuk kes penderaan kanak-kanak,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Siti Zailah menjawab soalan, Sabri Azit (PAS-Jerai) tentang statistik penderaan kanak-kanak yang berlaku hingga akhir tahun ini dan langkah-langkah bagi mengelakkan penderaan kanak-kanak di Malaysia. – Malaysiapost

