DUA pegawai Jabatan Imigresen didakwa di Mahkamah Sesyen, Kota Bharu, hari ini terhadap 33 pertuduhan menerima suapan bernilai RM154,340 sepanjang April 2018 hingga November 2019.
Tertuduh pertama, Mohamad Hariss Rosli, 27, didakwa terhadap 31 pertuduhan membabitkan nilai RM152,940.
Tertuduh kedua, Fasmawi Ab Wahab, 24, didakwa terhadap dua pertuduhan bernilai RM1,400.
Memetik laporan Berita Harian, Mohamad Hariss mengaku bersalah bagi pertuduhan pertama sehingga pertuduhan ke-18.
Bagi pertuduhan ke-19 hingga 31, tertuduh mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan, ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zaman Mohd Noor.
Prosiding pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Norhamizah Ghazali.
Mengikut pertuduhan, Mohamad Hariss yang bertugas sebagai pegawai Imigresen di Johor memperoleh wang daripada beberapa individu yang mempunyai hubungan kerja rasmi membabitkan nilai keseluruhan RM152,940 menerusi akaun Maybank Islamic miliknya, beralamat di Jalan Mahmood, Kota Bharu.
Tertuduh melakukan semua perbuatan berkenaan sepanjang tempoh April 2018 hingga November 2019.
Bagi semua pertuduhan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan.
Tertuduh kedua, Fasmawi mengaku bersalah terhadap dua tuduhan menerima suapan bernilai RM1,400 pada Februari dan Mac 2019.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bertugas di Johor memperoleh wang daripada seorang individu yang mempunyai hubungan kerja rasmi sebanyak RM1,400 pada 26 Februari dan 1 Mac 2019 menerusi akaun Maybank Islamic miliknya beralamat di Tumpat.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan.
Mahkamah kemudian memutuskan 22 Disember ini sebagai tarikh fakta dan hukuman bagi kedua-dua tertuduh dan tiada jaminan ditawarkan. – Malaysiapost

