Muhammad Mustakim Ramli
SELANGOR terus merekodkan kes penularan tertinggi Covid-19, apabila 532 kes dicatatkan daripada 1,371 kes hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah, berkata berdasarkan pecahan kes di negeri itu, 303 kes adalah dari kluster sedia ada, lapan dari kluster baharu iaitu Solar Ria, 109 kontak rapat, 111 lain-lain saringan dan satu kes import.
“Negeri lain yang turut mencatatkan kes tertinggi adalah Sabah merekodkan 283 kes, Negeri Sembilan (260), Kuala Lumpur (124) dan Perak (62).
“Terdapat 13,830 kes aktif, di mana 114 kes mendapat rawatan di unit rawatan rapi (ICU) termasuk 62 kes mendapat bantuan alat pernafasan,” katanya hari ini.
Dr Noor Hisham juga memaklumkan terdapat pertambahan empat kematian Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah 419 kes.
Sementara itu, beliau berkata sehingga hari ini terdapat 418 kluster telah dilaporkan termasuk dua kluster baharu yang dilaporkan pada hari ini.
“Jumlah kluster yang telah tamat pula adalah 227 termasuk dua kluster yang tamat hari ini iaitu Kluster Benteng LD di Sabah dan Greenhill di Sarawak.
“Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 191 kluster. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 46 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini.
“Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Ceram (220 kes), Kluster Tapak Bina Muda (143 kes) dan Kluster Teratai (81 kes),” katanya. – Malaysiapost

