RUNDINGAN pengagihan kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) antara Umno dan parti komponen Barisan Nasional (BN), telah selesai hampir 90 peratus, kata Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa.
Beliau berkata tiga pusingan rundingan telah dilakukan di bawah jawatankuasa rundingan, diketuai oleh Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berhubung perkara berkenaan.
Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh, berkata Umno juga telah mengadakan dua rundingan bersama PAS, yang telah mencapai kira-kira 60 hingga 70 peratus kesefahaman.
“Kami telah bersetuju yang 55 kerusi yang dimenangi Umno tidak akan ditandingi PAS, dan 18 kerusi dimenangi PAS tidak akan ditandingi Umno.
“Jika terdapat kerusi yang mana kedua-dua kalah, tetapi Umno mendapat undi yang lebih banyak, maka Umno akan bertanding, dan sebaliknya,” katanya seperti dilapor Bernama.
Dalam pada itu, Annuar berkata BN telah bersetuju supaya rundingan bersama Bersatu disegerakan, bagi mencapai kata sepakat berhubung kerusi yang akan ditandingi.
Sementara itu, memetik laporan BH, Annuar memahami mengenai bantahan di peringkat kepimpinan bahagian Umno yang tidak mahu berkompromi dengan Bersatu.
Menurut Annuar, Umno parti yang terbuka menerima dan mendengar pandangan semua pihak.
Namun, akhirnya semuanya bergantung kepada keputusan rasmi parti bukannya pandangan presiden atau pengerusi parti.
“Banyak kali diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno bahawa sesiapa bebas menyatakan pandangan tetapi keputusan akhir diputuskan MKT.
“Umno ada 119 bahagian sudah pasti ada yang tidak gembira dengan Bersatu begitu juga dengan PAS, begitu juga ada orang PAS dan Bersatu tidak setuju dengan kita, itu normal.
“Umno dan kepimpinan BN serta PN kini lebih kerap berhubung dan saya percaya kerjasama antara kami kini lebih utuh,” katanya.-Malaysiapost

