TUN Dr Mahathir Mohamad menegaskan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak tidak akan menjadi sebahagian anggota kerajaannya jika kerajaan baharu dibentuk.
Ahli Parlimen Langkawi itu turut menyatakan beliau tidak akan menerima Najib dan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai anggota kerajaan, namun mereka boleh menyokong untuk menolak Belanjawan 2021 jika mahu.
Sambil menyatakan keyakinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan gagal dalam pengundian Belanjawan 2021 bagi bacaan kali ketiga esok, Dr Mahathir berkata hanya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh menerima Najib.
“Kerja dengan Najib? Saya minta maaf, saya tak boleh. Saya dijemput untuk jadi perdana menteri sebelum ini, tetapi satu kerajaan yang bergantung kepada Najib, (saya tak boleh terima.
“Saya kata kepada mereka satu kerajaan yang bergantung kepada Najib untuk jadi kerajaan bukanlah satu benda yang saya boleh terima. Tapi muhyiddin kata dia boleh terima, dia ambilah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah di Yayasan Al Bukhari di ibu negara hari ini.
Dr Mahathir mengulangi beliau menyertai pembangkang sebelum ini kerana ingin menumbangkan kerajaan kleptokrasi pimpinan Najib.
Pengasas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu juga berkata, beliau tidak berhubung dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan sokongan kerana walaupun Ahli Parlimen Port Dickson itu adalah Ketua Pembangkang, beliau tidak berada di bawah kawalan Presiden PKR tersebut.
“Ketua pembangkang bukanlah mendapat sokongan majoriti dari wakil pembangkang, kami bukanlah bawah beliau.
“Beliau hanya dipilih sebagai Ketua Pembangkang, itu tidak memberinya sebarang kuasa untuk mengawal, kami boleh buat apa yang kami suka seperti termaktub dalam Parlimen,” katanya. – Malaysiapost

