Nilam Oshman
PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Zon A, Taman Klebang Jaya dan Taman Pinji Mewah bermula 1 Disember lalu akan ditamatkan esok.
Bagaimanapun, PKPD Asrama Pekerja Kilang Yamaha dilanjutkan sehingga 21 Disember ini.
Menteri Kanan (keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata bagi Zon A Taman Klebang Jaya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan 2,679 ujian saringan dan telah merekodkan sebanyak 37 kes kumulatif positif Covid-19.
Selain itu, katanya, KKM turut mengesahkan masih terdapat kes aktif positif Covid-19 yang melibatkan pekerja warganegara asing tertumpu di Asrama Pekerja Kilang Yamaha.
“Manakala bagi Taman Pinji Mewah, KKM mengesahkan kesemua penduduk telah disaring sepenuhnya dan sebanyak lapan kes positif Covid-19 telah direkodkan di lokaliti ini.
“Atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di Zon A, Taman Klebang Jaya dan Taman Pinji Mewah pada 14 Disember 2020 seperti yang dijadualkan.
“Kecuali bagi Asrama Pekerja Kilang Yamaha yang akan diteruskan dengan pelaksanaan PKPD selama tujuh hari lagi bermula 15 sehingga 21 Disember 2020,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Daerah Kinta turut ditamatkan esok.
“Kecuali di Kawasan Ipoh dan Chemor di Mukim Hulu Kinta yang akan diteruskan pelaksanaan PKPB sehingga 20 Disember 2020,” katanya. -Malaysiapost

