Nilam Oshman
JUMLAH kes baharu positif Covid-19 hari ini mencatatkan 1,229 kes dengan 1,227 kes tempatan dan dua kes import.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jumlah itu menjadikan kes kumulatif positif di Malaysia sebanyak 83,475 kes membabitkan 13,667 kes aktif sehingga jam 12 tengah hari tadi.
Menurutnya, Selangor masih melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 435 kes di mana 344 kes adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat kes positif Covid-19 yang giat dijalankan di lapangan.
“Ini diikuti Sabah sebanyak 333 kes dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 131 kes.
“Sebanyak 200 kes (16.3 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara yang membabitkan Kluster Tembok (103 kes), Kluster Rumah Merah (78 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (12 kes), Kluster Bakti (3 kes).
“Selain itu, Kluster Penjara Kepayan, Kluster PTS Sibuga, Kluster Matambai dan Kluster Penjara Seberang Perai masing-masing satu kes” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan terdapat 115 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 65 kes memerlukan bantuan pernafasan.
“Serta terdapat pertambahan empat kes kematian melibatkan warganegara, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 415 kes,” katanya. -Malaysiapost

